comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Keputusan rayuan pengasas Rumah Bonda, diketahui 24 April

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 24 April depan untuk membuat keputusan rayuan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali terhadap sabitan bersalah atas pertuduhan mengabai serta menganiaya remaja perempuan Sindrom Down dikenali sebagai Bella.

Perkara itu ditetapkan Hakim Datuk Noorin Badaruddin selepas mendengar hujahan peguam Haijan Omar yang mewakili Siti Bainun, 32, selaku perayu dan pihak pendakwaan yang hadir sebagai responden.

“Mahkamah meneliti kesemua hujahan lisan daripada kedua-dua pihak, saya akan beri alasan penghakiman ringkas pada tarikh itu,” katanya.

Haijan berkata, Hakim Mahkamah Sesyen tersalah arah dalam mensabitkan kesalahan itu terhadap anak guamnya.

“Pertuduhan baharu tidak dibaca termasuk tidak diambil pengakuan selepas pertuduhan terhadapnya dipinda,” katanya.

Katanya, perayu juga tidak diwakili peguam menyebabkan haknya diprejudiskan.

“Siti Bainun meminta penangguhan prosiding kerana dia tidak diwakili peguam, namun permohonan itu ditolak, malah disuruh membela diri dengan membaca pernyataan saksi.

“Bagaimanapun, kenyataan saksi itu dibantah (dibuang) oleh responden,” katanya.

Noorin kemudian bertanya berapa hari Siti Bainun tidak diwakili peguam ketika prosiding pembelaan.

Menjawab soalan itu, Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria berkata, Siti Bainun tidak diwakili peguam selama 25 hari bermula 26 Januari 2021.

Hakim: Kenapa perayu tidak bantah?

Haijan: Siti Bainun tidak tahu cara untuk membantah, apatah lagi perkara yang patut dibantah. Bukan itu sahaja, pendakwaan juga tidak memanggil saksi yang menyaksikan kejadian, iaitu dua remaja dikenali sebagai Aida dan Balqis.

Hakim: Kenapa perlu panggil dua remaja itu dan mengapa pembelaan tidak mengambil langkah sama, biarpun nama mereka termasuk dalam senarai yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan?

Haijan: Beban pembuktian untuk memanggil saksi itu terletak di bahu pendakwaan, bukannya pembelaan.

Ini kerana, Haijan berkata, remaja perempuan berkenaan sudah memberi keterangan bercanggah mengenai kejadian yang menimpa Bella, ketika siasatan dijalankan, dengan laporan polis dibuat.

Menjawab perkara itu, Timbalan Pendakwa Raya Analia Kamaruddin menghujahkan, dua saksi berkenaan tidak dipanggil kerana mereka adalah saksi kanak-kanak.

Katanya, sudah mencukupi keterangan yang diberi ketika disoal siasat di lokasi kejadian.

“Ketika kejadian, remaja yang berusia 14 dan 16 tahun itu, berada di bawah pemeliharaan Siti Bainun.“Mengambil kira perkara itu, pihak kami menghujahkan, tiada keterangan lain diperlukan,” katanya.

Selain Haijan, perayu turut diwakili peguam Nur A’minahtul Mardiah Md Nor dan Nurul Hafidzah Hassan, sementara responden oleh Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria.

3 Mei 2023, Mahkamah Sesyen, di sini, memerintahkan Siti Bainun menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, 13, di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Mahkamah turut memerintahkan Siti Bainun menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000.

Dia juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Pada 23 Mei lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk menangguhkan hukuman penjara kerana tiada keadaan khas mewajarkan pengasas Rumah Bonda itu dilepaskan sementara menunggu rayuan sabitan serta hukuman didengar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini