comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Keputusan Sama Ada Shafee Perlu Bela Diri Pada 28 Oktober

Foto: HARIAN METRO

KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah perlu membela diri atas empat tuduhan menerima RM9.5 juta melalui hasil aktiviti haram daripada Datuk Seri Najib Razak dan mengemukakan penyata tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri, akan diketahui 28 Oktober ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussein, menetapkan tarikh itu hari ini selepas selesai mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz, mewakili pendakwaan dan peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Muhammad Shafee.

Hakim menegaskan perlu meneliti dan menimbang hujahan kedua-dua belah pihak sebelum membuat keputusan di akhir kes pendakwaan.

Saya perlu meneliti dan menimbangkan hujahan kedua-dua belah pihak yang mengandungi lebih 500 muka surat.

“Oleh itu, keputusan (di akhir pendakwaan) ditetapkan pada 28 Oktober ini,” katanya.

Selepas mendengar keterangan lapan saksi pendakwaan pada 12 Mei lalu dalam prosiding perbicaraan yang bermula pada 21 Mei 2021, pendakwaan menutup kesnya.

Antara saksi pendakwaan yang dipanggil untuk memberi keterangan ialah Pengurus Cawangan Ambank Jalan Raja Chulan, R Uma Devi; Pengurus Cawangan CIMB Bank Bukit Tunku, Rosnita Ahmad; bekas pegawai LHDN, Syed Nasrul Fahmi Syed Mohamad; dan Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Farid Jabar.

Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta melalui dua cek dikeluarkan oleh bekas Perdana Menteri itu yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya, iaitu masing-masing cek RM4.3 juta diterima pada 13 September 2013 dan cek RM5.2 juta pada 17 Februari 2014.

Peguam itu dituduh melakukan kedua-dua kesalahan di CIMB Bank Bhd, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam itu juga berdepan dua tuduhan terbabit dalam transaksi hasil aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.- Berita Harian

Loading...
Terkini