comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Kes 1MDB : Saksi Jumpa Jho Low Di Rumah Najib

Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low.

KUALA LUMPUR : Bekas pegawai kanan Ambank memberitahu Mahkamah Tinggi, beliau melihat ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low, di kediaman Datuk Seri Najib Razak pada 2011.

Bekas Pengarah Bukan Eksekutif Ambank, Cheah Tek Kuang, berkata ketika itu, beliau dibawa ke kediaman Najib di Kenny Hills, Bukit Tunku, bagi membincangkan urusan pembukaan akaun bekas Perdana Menteri itu.

Tek Kuang yang menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada sesi soal balas, berkata apabila kereta yang membawanya ke rumah Najib tiba berdekatan rumah itu, terdapat beberapa kereta lain bersama.

“Saya melihat Jho Low dalam kereta lain. Kami tiba di kediaman itu dan dibawa ke bilik berasingan. Jho Low tidak bercakap dengan saya dan begitu juga saya tidak bercakap dengannya langsung,” katanya.

Dalam perbicaraan semalam, saksi itu berkata, beliau mengadakan pertemuan dengan Najib di kediamannya bagi membincangkan pembukaan akaun semasa dan penerimaan hadiah sumbangan berjumlah AS$100 juta.

Menurutnya, dalam pertemuan berkenaan, Najib sendiri memaklumkan bahawa wang terbabit akan dimasukkan ke dalam akaunnya dan Ahli Parlimen Pekan itu memberitahu ia sumbangan Kerajaan Arab Saudi untuk aktiviti agama Islam.

Terdahulu, Tek Kuang berkata, beliau kurang mengenali ahli perniagaan itu secara peribadi dan sepanjang yang diketahui, Jho Low tiada urusan dengan Ambank.

Katanya, beliau hanya bertemu Jho Low, beberapa kali, yang mempunyai tabiat datang lambat.

“Ada satu ketika, Low hendak makan tengah hari dengan saya dan semua sudah diuruskan tetapi dia mempunyai tabiat selalu tiba lewat.

“Ia bukan lima minit lewat, lebih daripada setengah jam. Saya bertemunya hanya dua atau tiga kali. Perjumpaan ini tiada kena mengena dengan urusan perniagaan, tetapi pertemuan majlis sosial.

“Ada ketika dia datang sangat lambat. Selepas itu, saya memilih untuk datang pada pertemuan lain kerana tidak mahu melayan perangai sebegitu,” katanya.

Ketika disoal oleh Muhammad Shafee sama ada Jho Low mempunyai tabiat memberikan hadiah, saksi itu berkata: “tidak, tidak, saya tidak perlukan hadiah”.

Tek Kuang memberikan keterangan terhadap Najib, 69, yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini