comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Kes bunuh Bella: Sebutan izin ke Mahkamah Tinggi tangguh lagi

Tertuduh, Mohammad Haikal ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat untuk sebutan izin kes ke Mahkamah Tinggi Muar.-Foto: NSTP

BATU PAHAT: Mahkamah Majistret di sini hari ini memerintahkan pihak pendakwaan agar mempercepatkan sebutan izin bagi memindahkan kes bunuh Bella ke Mahkamah Tinggi selepas tertangguh buat kali ketiga.

Prosiding pada hari ini adalah sebutan izin bagi memindahkan kes terbabit namun pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah masih menunggu arahan Pejabat Pendakwaan Negeri Johor (PPNJ) untuk dipindahkan.

Ini kerana, pihak pendakwaan memberitahu mahkamah bahawa terdapat perkembangan terbaharu dalam siasatan kes bunuh Bella atau nama sebenar Mila Sharmila Samsusah, 32.

Justeru, pihak pendakwaan diketuai Siti Khalijah Khalid memberitahu mahkamah, PPNJ mengarahkannya untuk mendapatkan satu tarikh baharu untuk sebutan izin.

Majistret Suhaila Shafi’uddin kemudiannya meminta pihak pendakwaan untuk segera mendapatkan arahan daripada PPNJ memandangkan ia sudah tiga kali ditangguhkan.

“Sebutan sebelum ini, pihak pendakwaan memaklumkan sudah mendapat laporan bedah siasat, kemudiannya disusuli laporan forensik.”

“Dalam kes ini, sejak sebutan pada Mac, April dan Mei, masih kekal dengan arahan lanjut. Jadi, mahkamah menetapkan 20 Mei ini untuk sebutan izin dan tarikh ini ditetapkan untuk tidak prejudis terhadap mana-mana pihak.”

“Pada masa sama, mahkamah menggunapakai Seksyen 177 (A) Kanun Prosedur Jenayah yang mana Mahkamah Majistret adalah medium untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan,” katanya.

Mangsa bunuh, Mila Sharmila Samsusah atau lebih dikenali sebagai Bella, 32 tahun. Gambar fail.

Pada prosiding itu, tertuduh, Mohammad Haikal Mahfuz, 24, diwakili Syahril Anuar Harun dan Mohd Awaluddin Zakaria sementara Amal Md Isa bertindak sebagai peguam pemerhati keluarga Bella.

Sementara itu, Syahril Anuar berkata pihaknya menghormati prosedur ditetapkan bagi mengelakkan timbul isu dalam kes ini.

Beliau berkata pihaknya hanya dimaklumkan penangguhan ini susulan terdapat perkembangan baharu dalam siasatan dan pegawai penyiasat masih menjalankan siasatan.

“Kami dimaklumkan berkenaan dua perkara iaitu penemuan sisa tulang baru-baru ini dan juga rakaman CCTV (kamera litar tertutup), namun kami tiada maklumat lanjut,” katanya.

Mohammad Haikal didakwa membunuh Bella antara Jalan Kelapa Barli, Taman Soga sehingga Jalan Parit Besar di Kampung Parit Besar dan sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani, Tongkang Pechah.

Kejadian berlaku pada jam 11 malam hingga 5 pagi, antara 14 hingga 15 Disember tahun lalu.

Mohammad Haikal didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun atau tidak melebihi 40 tahun, sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati serta sebatan tidak kurang 12 kali.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini