comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Kes dadah: Nasib Yasin ditentukan 29 November depan

FOTO: NSTP

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini, akan membuat keputusan sama ada mensabitkan kesalahan atau membebaskan penyanyi dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman atas tiga tuduhan kes dadah pada 29 November ini.

Hakim Faiz Dziyauddin, menetapkan tarikh itu hari ini sebelum mengarahkan pihak pendakwaan dan pembelaan penyanyi terbabit memfailkan hujahan bertulis pada atau sebelum 15 November ini.

“Keputusan di akhir kes pembelaan pada jam 2 petang, 29 November ini,” katanya.

Muhammad Yasin, 47, dilepas dan dibebaskan serta-merta jika didapati tidak bersalah dan keluarganya berharap penyanyi itu akan meneruskan rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Jika didapati bersalah, beliau berdepan berdepan hukuman penjara atau sebat atau kedua-duanya sekali mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Pihak pembelaan menutup kes hari ini selepas satu-satunya saksi mereka iaitu Pakar Perunding Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Ian Lloyd Anthony selesai memberi keterangan.

Pada 3 Oktober lalu, Muhammad Yasin diarah membela diri atas tiga kes dadah selepas mahkamah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes mereka.

Pada 15 September lalu, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, memaklumkan mahu menutup kes selepas selesai pemeriksaan semula terhadap pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya ketika itu, Inspektor Muhammad Amirul Mukmin Aziz.

Muhammad Amirul antara tujuh saksi pendakwaan yang dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan bermula 28 Ogos lalu.

Muhammad Yasin didakwa memberikan dirinya dadah di pejabat narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pada jam 11.05 malam, 24 Mac tahun lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Penyanyi itu juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah di kediamannya di Persiaran Surian, Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara, jam 5.30 petang, pada tarikh sama.

Pertuduhan memiliki dadah mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dipenjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh disebat tidak kurang 10 kali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan menanam pokok kanabis, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 6B (1) (a) ADB 1952 dan boleh dipenjara seumur hidup serta tidak kurang enam sebatan jika sabit kesalahan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini