comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Kes dadah Yassin, keputusan diketahui 3 Oktober

PETALING JAYA: Keputusan kes penyanyi dan komposer terkenal, Muhammad Yasin Sulaiman sama ada dibebaskan atau dipanggil membela diri atas tiga pertuduhan dadah akan diketahui 3 Oktober ini.

Perkara itu diputuskan Hakim Faiz Dziyauddin selepas pihak pendakwaan memaklumkan menutup kes itu hari ini.

“Pihak pendakwaan dan pembelaan Muhammad Yasin perlu memfailkan hujahan bertulis pada 29 September ini, manakala 17 dan 27 Oktober ini prosiding bela diri (jika Muhammad Yasin dipanggil berbuat demikian).

“Bagi keputusan di akhir kes pendakwaan, mahkamah menetapkan 3 Oktober ini,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin menyatakan mahu menutup kes selepas selesai memanggil kesemua tujuh saksi pendakwaan.

Artikel berkaitan: Keputusan representasi Yasin ditangguh ke 11 Januari 2023

Pendakwaan menutup kes hari ini selepas selesai memanggil saksi pendakwaan keenam yang juga pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya ketika itu, Inspektor Muhammad Amirul Mukmin Aziz dan saksi pendakwaan terakhir, Prof Dr S Sreeramanan yang juga pakar bioteknologi tumbuhan.

Ke semua saksi selesai memberi keterangan dalam perbicaraan bermula 28 Ogos lalu.

Pihak pendakwaan juga menawarkan tujuh saksi kepada pembelaan termasuk Dr Brian Ho dan Dr Derrick Chow masing-masing dari Hospital Pantai Kuala Lumpur serta Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Bagaimanapun, peguam mewakili Muhammad Yasin, Nur’Ain Shahiera Khalid memberitahu pihaknya tidak memerlukan untuk memanggil saksi ditawarkan pendakwaan pada prosiding bela diri.

Terdahulu, ketika pemeriksaan utama oleh Raja Zaizul Faridah, Muhammad Amirul berkata sebagai pegawai penyiasat yang bertanggungjawab menjaga Yasin dalam tahanan, tertuduh tidak mengalami sebarang simptom kecelaruan atau tidak waras ketikaberada dalam tahanan reman selama tujuh hari.

Muhammad Amirul berkata, tertuduh berada dalam keadaan baik dan sihat serta memahami dan menjawab soalan dengan baik.

“Tertuduh memberi kerjasama penuh ketika siasatan dan tahanan reman. Malah, dia juga mampu mengikuti arahan dengan baik ketika dalam tahanan,” katanya.

Ketika pemeriksaan balas peguam Nur’Ain Shahiera mengenai adakah siasatan dibuat terhadap sejarah kesihatan mental Yasin, Muhammad Amirul berkata, sebagai pegawai penyiasat dia diberitahu oleh Yasin menghidap bipolar pada hari kedua dalam tahanan reman.

“Untuk makluman hakim, saya juga ada rakam percakapan satu doktor peribadi tertuduh, Dr Brian Ho daripada Hospital Pantai.

“Ketika proses rakaman percakapan Dr Brian, doktor berkenaan tidak memberi kerjasama dan tidak menjawab soalan walaupun tugas saya sebagai pegawai penyiasat.

“Hasil rakaman, saya tidak dapat sebarang butiran tertuduh berkaitan bipolar,” katanya.

Yasin, 48, didakwa memberikan dirinya dadah di pejabat narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pada jam 11.05 malam, 24 Mac tahun lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Penyanyi itu juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah di kediamannya di Persiaran Surian, Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara, di sini, jam 5.30 petang, pada tarikh sama.

Artikel berkaitan: Pegawai kimia dedah air kencing Yasin positif kanabis

Pertuduhan memiliki dadah mengikut Seksyen 6 ADB dan boleh dipenjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh disebat tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan menanam pokok kanabis, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 6B (1) (a) ADB dan boleh dipenjara seumur hidup serta sebat tidak kurang enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Loading...
Terkini