comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Lelaki Myanmar didakwa bunuh rakan senegara kerana hutang

Hasang, 24 didakwa membunuh Kyaw Kyaw di gelanggang bola keranjang di taman permainan kawasan perumahan Bandar Manjalara, Kepong, antara jam 12 tengah malam hingga 4 pagi, 13 Februari lalu. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja restoran warga Myanmar didakwa di Mahkamah Majistret hari ini kerana membunuh rakan senegaranya kerana hutang.

Hasang, 24, mengangguk faham selepas pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh lelaki Myanmar, Kyaw Kyaw, di gelanggang bola keranjang di taman permainan kawasan perumahan Bandar Manjalara, Kepong, antara jam 12 tengah malam hingga 4 pagi, 13 Februari lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Izzat Amir Idham, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 16 Februari lalu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari, memaklumkan siasatan awal mendapati mangsa bersama empat rakan senegaranya minum arak di gelanggang bola keranjang berkenaan.

Perselisihan faham dikatakan berlaku apabila mangsa enggan menjelaskan hutangnya sebanyak RM2,500 kepada seorang suspek yang bertindak mencucuk leher Kyaw Kyaw menggunakan serpihan botol arak.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini