comscore
Tumpuan :
Mahkamah

“Mahkamah Perlu Nafikan Dokumen Tular Keputusan Rayuan Najib”

KUALA LUMPUR: Mahkamah perlu segera menafikan dokumen tular yang didakwa kertas keputusan kehakiman berkaitan kes rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebelum keputusan sebenar dibacakan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebentar tadi.

Gesaan itu dibuat Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran bersama dengan tangkap layar artikel sebuah portal mengenai rumusan kes berkenaan, di akaun Facebook beliau hari ini.

Justeru, beliau berkata, pihaknya akan membuat laporan polis petang ini supaya siasatan segera dapat dijalankan.

“Amat memeranjatkan apabila tular satu dokumen dikatakan satu kertas keputusan penghakiman hakim Mahkamah Persekutuan terhadap rayuan kes SRC Datuk Seri Najib Razak walaupun prosiding mahkamah (ketika itu) masih berjalan.

“Persoalannya apakah dokumen ini benar dan asli? Apakah ada agenda jahat untuk memperkotak-katikkan prinsip keadilan dalam negara?

“Perlu ada penafian segera daripada pihak mahkamah supaya tidak timbul prasangka negatif yang boleh mencalar imej institusi kehakiman negara,” katanya.

Dokumen yang didakwa kertas keputusan kehakiman itu dimuat naik menerusi portal MalaysiaToday.

Ia dikatakan tular menerusi aplikasi WhatsApp dan media sosial lain selain boleh dimuat turun.

Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan Tengku Maimun sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Beliau berkata sabitan itu selamat bagi semua tujuh pertuduhan dan hukuman itu tidak keterlaluan.

“Rayuan sebulat suara ditolak dan sabitan dan hukuman dikekalkan. Saya dengan ini mengumumkan waran komital (perintah menjalani hukuman penjara) ,” kata Tengku Maimun memerintahkan prosiding tamat. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini