comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Mahkamah Pilihan Raya akan bicara penuh petisyen calon BN Parlimen Segamat

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan terdapat merit terhadap rayuan petisyen calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri M Ramasamy yang mencabar keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Segamat.

Susulan itu, petisyen pilihan raya Bendahari MIC terbabit berhubung permohonannya membatalkan kemenangan Pakatan Harapan (PH) dikembalikan ke Mahkamah Pilihan Raya untuk perbicaraan penuh.

Keputusan sebulat suara dibuat panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Zabariah Mohd Yusof yang bersidang bersama Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Mary Lim Thiam Suan.

Zabariah berkata, Mahkamah Pilihan Raya perlu menentukan sama ada wujud elemen rasuah dan jika bahan kempen digunakan PH menyalahi undang-undang pilihan raya.

Tarikh sebutan kes ditetapkan pada 24 Ogos ini di Mahkamah Tinggi Muar.

Pada 14 April lalu, Ramasamy memfailkan notis rayuan dengan Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran; Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Segamat dinamakan responden.

Notis rayuan itu berikutan keputusan hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Radzi Abdul Hamid, dalam kapasitinya sebagai hakim Mahkamah Pilihan Raya pada 3 April lalu, yang menolak petisyen pilihan raya Ramasamy selepas menerima bantahan awal yang dikemukakan responden.

Bantahan awal yang dibangkitkan oleh responden termasuk Ramasamy gagal mematuhi Peraturan 15(4) Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954 berkaitan afidavitnya dan kegagalannya mematuhi Peraturan Petisyen Pilihan Raya berkenaan fakta merayu dalam petisyennya yang tidak mampu mengekalkan perisytiharan yang dimohon.

Dalam penghakimannya, Mohd Radzi berkata, petisyen tidak seharusnya berdasarkan inferens dan andaian tetapi berdasarkan fakta sebenar serta material dan menambah petisyen Ramasamy tidak mempunyai fakta material yang jelas serta tepat.

Sehubungan itu, mahkamah mengekalkan kemenangan Yuneswaran, selain mengarahkan Ramasamy membayar kos sebanyak RM30,000.

Pada PRU15 yang diadakan pada November tahun lalu, Yuneswaran memenangi kerusi itu dengan majoriti 5,669 undi dan diisytiharkan sebagai Ahli Parlimen yang dipilih bagi kawasan itu.

Yuneswaran mengalahkan Ramasamy; calon Perikatan Nasional, P. Poobalan dan calon Pejuang, Syed Hairoul Faizey.

Dalam petisyennya, Ramasamy antara lain memohon pengisytiharan bahawa pilihan raya bagi kawasan Parlimen Segamat adalah terbatal dan pengisytiharan bahawa Yuneswaran tidak dipilih sebagai Ahli Parlimen.

Ramasamy mendakwa Yuneswaran merasuah pengundi dengan memberi makanan ketika satu acara di tokong Cina di Johor bagi mempengaruhi pengundi.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili Ramasamy, manakala Lau Yi Leong, G Manivanan dan Adi Zulkarnain Zulkafli mewakili Yuneswaran.

Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan dan Zureen Elina Dom mewakili SPR dan Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya.

Loading...
Terkini