comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Mahkamah tolak rayuan, bapa tiri laku jenayah seksual kekal dipenjara 35 tahun dan 20 sebatan

Guru renang gagal merayu hukuman di Mahkamah Tinggi, kekal dipenjara 35 tahun dan 20 sebatan atas kesalahan seksual terhadap anak tirinya. FOTO: NSTP

AYER KEROH: Mahkamah Tinggi Ayer Keroh di sini, hari ini mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 35 tahun dan 20 sebatan terhadap guru renang atas 32 pertuduhan merogol, melakukan amang seksual fizikal dan seks menggunakan objek terhadap anak tirinya, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis membuat keputusan itu selepas menolak rayuan perayu (tertuduh) bagi mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh dua hakim Mahkamah Sesyen Ayer Keroh sebelum ini.

Pada 15 Mei 2023, Hakim Mahkamah Sesyen, Dharmafikri Abu Adam dan Mohd Sabri Ismail menjatuhkan penjara 35 tahun dan 20 sebatan dalam prosiding berasingan selepas menerima pengakuan bersalah perayu dan memerintahkannya menjalani hukuman serentak bermula dari tarikh ditangkap pada 8 Mei 2023.

Anselm antara lain berkata, selepas meneliti semua pertuduhan dan fakta kes menunjukkan perayu melakukan perbuatan seksual terhadap anak tirinya bermula 2020 ketika mangsa berusia 12 tahun 10 bulan.

“Perbuatan terkutuk tertuduh berlanjutan hingga mangsa berusia 16 tahun dan kerana tidak tahan dengan perbuatan itu, mangsa melarikan diri dari rumah dan penemuan mangsa oleh pihak polis sekaligus membongkar perbuatan tertuduh.”

“Walaupun tertuduh bapa tiri, tanggungjawabnya terhadap mangsa adalah sama seperti bapa kandung untuk memberikan kasih sayang dan melindunginya.”

“Saya berpendapat tertuduh mengambil kesempatan atas faktor umur mangsa dan mereka tinggal serumah semata-mata untuk memuaskan nafsunya,” katanya.

Dalam prosiding rayuan itu, perayu diwakili peguam KA Ramu manakala Timbalan Pendakwa Raya, Sharina Farhana Nor Sa’ari mewakili responden.

Menurut Anslem, pihaknya turut meneliti keterangan impak mangsa dan penghakiman oleh kedua-dua hakim Mahkamah Sesyen serta berpendapat hukuman penjara dan sebatan rotan diputuskan adalah setimpal dengan keseriusan kesalahan dilakukan tertuduh terhadap mangsa dan keluarganya.

Katanya, tertuduh sudah membinasakan masa depan seorang remaja perempuan dan mahkamah tidak nampak alasan bermerit untuk mengganggu gugat keputusan terhadap sabitan dan hukuman hakim Mahkamah Sesyen.

“Saya sudah mengambil kira ‘totality principle’ bahawa hukuman yang dijatuhkan tidak memberi kesan ‘crushing’ kepada tertuduh.”

“Faktor kepentingan awam melebihi kepentingan individu seperti dihujahkan pendakwaan.”

“Saya juga berpendapat bahawa hukuman penjara dan sebatan yang dijatuhkan oleh hakim Mahkamah Sesyen tidak ‘manifestly excessive’ berdasarkan apa yang dilakukan oleh tertuduh dan akibat perbuatan tertuduh terhadap mangsa.”

“Oleh itu saya tolak rayuan perayu terhadap hukuman dan mengekalkan hukuman penjara dan sebatan yang dijatuhkan oleh hakim Mahkamah Sesyen,” ujarnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini