comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Mengaku miliki dadah, pesakit angin ahmar dipenjara 10 tahun dan 11 sebatan

MELAKA: Seorang lelaki yang berpenyakit angin ahmar ringan, dihukum penjara 10 tahun dan 11 sebatan atas kesalahan memiliki dan menggunakan dadah pada Mei lalu.

Hukuman itu diputuskan Hakim Mahkamah Sesyen, Mohd Sabri Ismail selepas tertuduh, Steven Too Tant Haw, 40, menukar pengakuan kepada bersalah terhadap pertuduhan pada sebutan kes itu hari ini.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki dadah jenis heroin dan monoacetylmorphines dengan berat bersih lapan gram di sebuah rumah di Jalan Merlimau, FELCRA Lembah Kesang, Merlimau, Jasin pada 23 Mei lalu, kira-kira jam 6 petang yang sabit kesalahan boleh dipenjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan minimum 10 sebatan.

Tant Haw juga menghadapi tuduhan kedua iaitu pada tarikh sama, kira-kira jam 8 malam, di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, didapati memberikan kepada dirinya dadah jenis morfin yang sabit kesalahan boleh dipenjara antara lima hingga tujuh tahun dan minimum tiga sebatan.

Mengikut fakta kes, pengadu bersama beberapa anggota BSJN Jasin ketika tugas Op Tapis pergi ke sebuah rumah di FELCRA Lembah Kesang, Merlimau dan menahan tertuduh yang berada dalam keadaan mencurigakan.

Pemeriksaan terhadap suspek menemui satu beg plastik warga kuning di tangan kanannya berisi satu paket lut sinar disyaki dadah heroin anggaran seberat 420 gram.

Suspek dibawa ke BSJN IPD Jasin bersama rampasan dadah dan selepas ujian saringan awal air kencing, dia didapati positif dadah.

Selepas meneliti rayuan dan hujah pendakwaan, Mohd Sabri menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan pertama, manakala pertuduhan kedua, penjara lima tahun dan satu sebatan.

Mahkamah menetapkan kedua-dua hukuman berjalan serentak dari tarikh ditangkap pada 23 Mei lalu, sekali gus tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara lima tahun saja.

Loading...
Terkini