comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Merosakkan kereta di parkir stadium, tujuh lelaki didenda RM2,000

PETALING JAYA: Tujuh lelaki didenda RM2,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana merosakkan kereta di parkir Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Sabtu minggu lepas.

Majistret Nur Natasya Mohtarudin mengenakan denda itu terhadap Muhamad Ainol Syukri Shariff, 28; Mohammad Hariz Suhaimi, 36; Norbadrul Amin Norazman, 27;Muhammad Ezwan Shah Mustapa Kamal, 24; Muhammad Othman Abd Rahim, 21; Muhammad Husaini Hamdi Azizi, 21 dan Azizi Abu Hassan, 36, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Mahkamah turut mengarahkan mereka dipenjarakan selama dua bulan jika gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, ke semua mereka didakwa sebagai ahli perhimpunan menyalahi undang-undang secara bersama mendatangkan kerosakan terhadap kereta jenis Honda FD milik seorang lelaki berusia 22 tahun sehingga membabitkan kerugian bernilai RM15,000, di parkir berkenaan pada jam 4.50 petang 25 November lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 149 KK yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh, dan menetapkan 31 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan polis menahan 23 lelaki disyaki terbabit pergaduhan di Stadium MBPJ sebelum aksi Liga Super antara Selangor FC dengan Perak FC.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata lima lelaki mengalami kecederaan, manakala sebuah kereta turut dirosakkan dalam insiden itu.

Satu klip video berdurasi 44 saat dan tiga gambar tular dalam media sosial memaparkan pergaduhan sekumpulan individu serta kenderaan yang rosak akibat insiden berlaku di Stadium MBPJ sebelum perlawanan bola sepak itu berlangsung.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini