comscore
Tumpuan :
Sukan

JDT masih sukar digugat, Sabah & Negeri Sembilan baiki kedudukan

Foto: MFL

Oleh: Fariz Zolkarnain

PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) jelas masih sukar digugat mana-mana pasukan dalam saingan Liga Super musim ini apabila mencatat kemenangan kesembilan berturut-turut, malam tadi.

Kejayaan itu hadir selepas skuad kendalian Esteban Solari berjaya menewaskan PDRM FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sekaligus mengukuhkan kedudukan di puncak liga dengan 27 mata maksimum.

Bagaimanapun JDT tidak diberi laluan mudah pada aksi kesembilan itu apabila Sang Saka Biru menerapkan corak bertahan sepanjang permainan berlangsung.

Foto: MFL

Ditambah pula dengan ketangkasan penjaga gol PDRM, Nor Hakeem Hamidun yang tampil cemerlang menggagalkan usaha pelawat.

Buktinya, Nor Hakeem berjaya menyelamatkan sepakan penalti Bergson Da Silva pada penghujung babak pertama.

Bersambung selepas rehat, gol yang dicari-cari JDT akhirnya menjelma apabila Fernando Forestieri memecahkan kebuntuan jaringan pada minit ke-61.

Usaha tuan rumah untuk bangkit bertambah sukar selepas Kyaw Min Oo dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-73 kerana menampan bola menggunakan tangan.

Keputusan 1-0 kekal sehingga wisel penamat menyaksikan JDT menang kesemua sembilan perlawanan setakat ini sekaligus mengukuhkan kedudukan di puncak liga.

Foto: MFL

Malang buat PDRM apabila jatuh satu anak tangga untuk berada di kedudukan ke-10 dengan 10 mata.

Sementara itu di Stadium Likas, Sabah FC naik ke tangga keempat selepas merakam kemenangan besar 6-1 ke atas Kelantan FC.

Skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee mendahului dua gol menerusi jaringan Daniel Ting pada minit keempat dan minit ke-10.

Kelantan merapatkan kedudukan menerusi sepakan lencong Miguel Cifuentes, seminit selepas rehat.

Namun Dominic Tan menjadikan kedudukan 3-1 hasil sepakan leret, dua minit berselang.

Kapten Sabah, Baddrol Bakthiar kemudiannya mudah menambah gol keempat, minit ke-61 disusuli Stuart Wilkin merembat kencang untuk gol kelima, minit ke-75.

Sabah melengkapkan kemenangan bergaya di hadapan penyokong sendiri dengan gol keenam kali ini menerusi penyudah Telmo Castanheira pada masa kecederaan.

Sabah kini mengumpul 17 mata untuk berada di tangga keempat, manakala Kelantan kekal menghuni tangga ke-13 dengan empat mata.

Di Stadium Perak, Ipoh, Perak FC dan Negeri Sembilan FC terpaksa akur berkongsi satu mata selepas terikat 1-1.

Perak kendalian Datuk Lim Teong Kim terlebih dahulu di depan menerusi jaringan Muhammad Alif Zikri Zaini Anuar seawal minit ketiga.

Bagaimanapun bersambung babak kedua, Shahrel Fikri Md Fauzi menyamakan kedudukan buat pelawat, minit ke-70.

Hasrat The Bos Gaurus untuk melakar kemenangan kedua musim ini tidak kesampaian apabila keputusan 1-1 kekal sehingga wisel penamat.

Satu mata yang diraih Negeri Sembilan menyaksikan skuad kendalian K. Devan naik satu anak tangga untuk berada di tangga kesembilan dengan 10 mata, sementara Perak kekal di tangga ke-11 dengan enam mata.

Loading...
Terkini