comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pegawai Imigresen didakwa terima suapan RM600

FOTO: NSTP

KUANTAN: Seorang pegawai Imigresen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM600 pada tahun 2022.

Tertuduh, Rohaizi Ismail, 50, memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Mengikut pertuduhan, Rohaizi yang bertugas di Jabatan Imigresen Pahang didakwa menerima wang RM600 secara dalam talian tanpa balasan daripada seorang individu yang mempunyai hubungan dengan tugas rasminya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan terbabit pada 15 Mei 2022 dan 30 Julai 2022 iaitu masing-masing berjumlah RM300 di sebuah bank, di sini.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan jika didapati bersalah boleh dipenjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rif’ah Izzati Abdul Mutalif mencadangkan jaminan RM5,000 berserta syarat tambahan untuk tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan lebih rendah kerana perlu menanggung isteri, tiga anak dan ibunya yang sakit.

Hakim menetapkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan tertuduh melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan, dengan 24 April depan ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini