comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pekerja kilang mengaku tidak bersalah miliki bahan letupan, pistol tiruan, kerambit

Tertuduh Bonny Anak Tigong dibawa ke Mahkamah Majistret Butterworth.

Oleh: Selwam Arjunan

BUTTERWORTH: Seorang pekerja kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, atas dua pertuduhan memiliki bahan letupan serta memiliki pistol tiruan tanpa kebenaran.

Pertuduhan ke atas Bonny Anak Tigong, 32 tahun, dibuat di hadapan Majistret Siti Zulaikha Noordin Ghani.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki bahan letupan Improvised Explosive Device (IED) tanpa kebenaran yang sah di sebuah rumah flat di Taman Pandan dekat Mak Mandin, Butterworth  jam 7.35 malam, 8 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Tertuduh juga didakwa memiliki sepucuk pistol tiruan grib jenis kayu tanpa kebenaran yang sah pada jam 6.30 petang di tempat dan tarikh sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 yang membawa penjara maksimum satu tahun dan denda maksimum RM5,000 atau kedua- duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki sebilah kerambit beserta sarung berukuran 19 sentimeter tanpa tujuan sah.

Dia didakwa mengikut Seksyen 7 (1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin bagi tiga kes berkenaan dengan jumlah keseluruhan RM15,000.

Sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam ditetapkan  pada 16 November depan.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki ditahan polis selepas meletupkan bom buatan sendiri berhampiran mesin basuh jirannya di flat terbabit kerana suspek berang dengan gangguan jiran.

Siasatan awal turut menemukan satu lagi bom buatan sendiri dan polis turut merampas sepucuk pistol serta peluru buatan sendiri serta kerambit.

Suspek didakwa mempelajari cara dan teknik membuat bom melalui laman web, manakala bahan yang digunakan dibeli secara dalam talian.

Loading...
Terkini