comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pemandu langgar mati 3 lelaki Pakistan mengaku ambil dadah

Foto: NSTP

TELUK INTAN: Pemandu Proton Saga yang melanggar mati tiga lelaki warga Pakistan dalam perjalanan menunaikan solat sunat Aidilfitri, Rabu lalu mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah di Mahkamah Majistret Teluk Intan, hari ini.

Tertuduh, Mohd Azizol Abdul Rasheed, 36, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret T Ashvinii.

Berdasarkan pertuduhan, pembantu kedai makan itu didakwa memasukkan dadah berbahaya jenis tetrahydro-cannabinol (THC) ke dalam diri sendiri dengan cara menyalahi undang-undang di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini, jam 7.45 malam, Rabu lalu.

Oleh itu, lelaki terbabit dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (pindaan 2003) dan dibaca bersama Seksyen 38b (1) akta yang sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya R Rishan Kumar, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Faustina Francis.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan dua orang penjamin dan syarat tambahan melapor diri di balai berdekatan setiap dua minggu sekali.

Mahkamah turut menetapkan 5 Jun depan sebagai sebutan semula kes bagi serahan laporan patologi.

Kelmarin, tiga lelaki warga Pakistan maut, manakala tiga lagi parah dirempuh kereta dipandu suspek ketika berjalan kaki ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Dalam kejadian di Kilometer 16 Jalan Teluk Intan-Bidor, dekat Batu 12 Changkat Jong, di sini, apabila sebuah Proton Saga dipandu suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai makan terbabas dan melanggar enam warga Pakistan yang sedang berjalan kaki di bahu jalan.

Identiti tiga mangsa yang maut dikenali sebagai Zahir Nur Muhammad, 31; Shayan Mumtazali, 22 dan Adil Noorullah, 33.

Tiga lagi individu cedera ialah Kamran Muhammad Wali, 26; Yasen Afzalsha, 19 dan Salem Said Rasol, 23.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri dilaporkan berkata, suspek yang didapati positif ganja direman empat hari sejak semalam hingga Ahad ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu semasa di bawah pengaruh dadah dan menyebabkan kematian.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini