comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pendengaran rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Yasin ditetapkan 22 Ogos

Muhammad Yasin Sulaiman. – Foto fail

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 22 Ogos ini untuk pendengaran rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan penyanyi dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman, atas tuduhan kes dadah, tahun lalu.

Penolong Kanan Pendaftar, Azmi Aman berkata, pihak pendakwaan dan pembelaan penyanyi itu juga bersetuju memfailkan hujahan bertulis pada 15 Julai, manakala hujahan balas pada 29 Julai jika ada.

“Ketika pendengaran, pihak terbabit boleh membuat hujahan lanjut berkaitan isu baharu yang timbul nanti.

“Mahkamah Tinggi akan membuat keputusan pada hari sama atau mohon tarikh lain untuk keputusan,” katanya.

Muhammad Yasin, 49, sebagai responden dalam prosiding rayuan diwakili peguam Ariff Azami Hussein, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lokman Kasim.

Ariff Azami ketika ditemui pemberita berkata, pihak pendakwaan ada hak untuk membuat rayuan apabila sesuatu kes tidak menyebelahi mereka.

“Kita juga mempunyai hak untuk merayu jika tidak berjaya pada bicara sebelum ini (jika Muhammad Yasin didapati bersalah).

“Itu hak digunakan pihak pendakwaan, jadi ini adalah prosesnya walaupun Yasin sebut beberapa kali seolah-olah belum nampak sinar di hujung terowong, ini proses perundangan perlu dilalui.

“Kita akan cuba sedaya upaya untuk mempertahankan proses (keputusan Mahkamah Sesyen membebaskan penyanyi itu sebelum ini) dan menyerahkan kepada kebijaksanaan Mahkamah Tinggi untuk memutuskan yang terbaik sesuai dengan fakta serta keterangan diperoleh,” katanya,

Pada 29 November lalu, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya melepas dan membebaskan penyanyi dan komposer berusia 49 tahun itu atas tiga tuduhan kes dadah.

Bagaimanapun, Hakim Faiz Dziyauddin, mengarahkan Muhammad Yasin ditempatkan di bawah jagaan selamat di Hospital Bahagia Ulu Kinta mengikut Seksyen 348(1) Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).

Penyanyi itu akan ditempatkan di hospital berkenaan selama tempoh mengikut perkenan Sultan Selangor di bawah Seksyen 348(2) KTJ.

Muhammad Yasin didakwa memberikan dirinya dadah di pejabat narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pada jam 11.05 malam, 24 Mac 2022.

Pendakwaan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Penyanyi itu juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah di kediamannya di Persiaran Surian, Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara, jam 5.30 petang, pada tarikh sama.

Pertuduhan memiliki dadah mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dipenjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh disebat tidak kurang 10 kali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan menanam pokok kanabis, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 6B (1) (a) ADB 1952 dan boleh dipenjara seumur hidup serta tidak kurang enam sebatan jika sabit kesalahan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini