comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Yasin lepas, bebas tiga pertuduhan dadah

Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki

PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer Muhammad Yasin Sulaiman dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi atas tiga pertuduhan dadah.

Hakim Faiz Dziyauddin turut mengarahkan Yasin, 48, ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama mana tempoh yang diperkenankan Sultan Selangor.

“Setelah mahkamah meneliti keseluruhan keterangan saksi pendakwaan dan pembelaan, mahkamah mendapati bahawa tertuduh ada melakukan perbuatan sebagaimana dalam ketiga-tiga pertuduhan.

“Bagaimanapun, mahkamah memutuskan bahawa tertuduh dilepas dan dibebaskan atas alasan semasa kejadian sebagaimana didakwa pada 24 Mac 2022, tertuduh berada dalam keadaan mentalnya yang tidak waras walaupun sedar akan perbuatannya.

“Namun, gejala mania (emosi tidak stabil) dialami masa itu menyebabkan kemerosotan kognitif pada tahap teruk sehingga tertuduh tidak mampu untuk mengetahui bahawa perbuatannya adalah salah dan bertentangan undang-undang,” katanya.

Yasin didakwa memberikan dirinya dadah di pejabat narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pada jam 11.05 malam, 24 Mac tahun lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Penyanyi itu juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah di kediamannya di Persiaran Surian, Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara, jam 5.30 petang, pada tarikh sama.

Pertuduhan memiliki dadah mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dipenjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh disebat tidak kurang 10 kali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan menanam pokok kanabis, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 6B (1) (a) ADB 1952 dan boleh dipenjara seumur hidup serta tidak kurang enam sebatan jika sabit kesalahan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini