comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Penganggur didakwa rogol remaja 13 tahun 

Tertuduh, Fazaikal Hakimi Mustafa membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan. – Foto: NSTP

IPOH: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol remaja perempuan bawah umur, bulan lalu.

Tertuduh, Fazaikal Hakimi Mustafa, 21, minta dibicarakan sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Evangelin Simon Silvaraj  manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Salihen Mastor.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 13 tahun tujuh bulan di sebuah rumah di Taman Impiana Adril, Menglembu, Ipoh antara  jam 12 tengah malam hingga 4 pagi pada Julai 2023.

Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Evangelin tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh namun Mohamad Salihen memohon jaminan diberikan kepada anak guamnya dengan jumlah minimum RM3,000 atas alasan lelaki berkenaan tidak bekerja selain membantu ibunya menjaga datuk yang uzur.

Mohamad Salihen berkata, ibu kepada anak guamnya yang merupakan tenaga pengajar di sebuah pusat tahfiz juga bersedia memberikan komitmen sekiranya mahkamah menetapkan syarat tambahan kepada tertuduh.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 7 September depan untuk sebutan semula kes.

Loading...
Terkini