comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pengarah pusat kontraktor dipenjara sebulan, denda RM210,000 kerana rasuah

Foto: NSTP

KUANTAN: Mahkamah Seksyen di sini, hari ini, menjatuhi hukuman penjara satu bulan dan denda RM210,000 terhadap Pengarah Pusat Khidmat Kontraktor Pahang, Kementerian Kerja Raya, selepas mengaku salah menerima rasuah.

Hakim, Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain, menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Shaiful Azman Taha, 45, mengaku bersalah terhadap tuduhan yang dikenakan terhadapnya, ketika prosiding berada di peringkat pembelaan.

Ahmad Zamzani turut memerintahkan tertuduh dikenakan hukuman penjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda yang dikenakan.

Mengikut pertuduhan, Shaiful Azman, dari Pelindung Maju, di sini, didakwa menerima suapan berjumlah RM42,000 daripada juruteknik Syarikat NZH Murni Enterprise, Hamdan Mat Hassan, pada 21 Disember 2013.

Tertuduh menerima wang tunai itu sebagai dorongan mengeluarkan Sijil Kontraktor Taraf Bumiputera (STB) kepada syarikat berkenaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Terdahulu, Peguam Bela, Mohd Baharuddin Ahmad Kassim ketika prosiding memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara minimum kepada tertuduh mengambil kira faktor kesihatan dan kesan dialaminya sepanjang pendakwaan berlangsung.

Mohd Baharuddin berkata, sejak ditahan SPRM pada 2014 sehingga kini, tertuduh mengalami dipresi yang serius dan akan dirujuk ke Jabatan Psikiatri Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, pada hujung bulan ini.

“Akibat pengakuan bersalah yang dibuat tertuduh, dia akan kehilangan pekerjaan selepas 14 tahun berkhidmat, sekali gus hilang semua keistimewaan sebagai penjawat awam seperti pendapatan bulanan, keistimewaan rawatan perubatan, serta pencen,” katanya.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Rifah Izzati Abdul Mutalif, memohon mahkamah menetapkan hukuman dengan mengambil kira pengakuan bersalah dibuat tertuduh di peringkat pembelaan dengan 22 saksi pendakwaan sudah dipanggil memberi keterangan sejak kes berjalan bermula tahun 2018.

Loading...
Terkini