comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Permohonan isteri Daim cabar keabsahan tuduhan dibantah

Foto: NSTP

Oleh: Hilmi Abdul Malik

KUALA LUMPUR: Permohonan mencabar keabsahan pertuduhan gagal mengisytiharkan harta isteri Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Kadir dibantah pihak pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Maziah Mohaide menerusi afidavit balasan menyatakan tiada keperluan untuk Mahkamah Sesyen merujuk persoalan itu ke Mahkamah Tinggi selain menyifatkan permohonan Na’imah tidak mempunyai merit.

Pihak pendakwaan juga berpendapat, isu yang dibangkitkan tertuduh tidak melanggar mana-mana perkara dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Peruntukan ini tidak melanggar Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan (kebebasan diri) kerana apabila pemohon diberikan notis di bawah Seksyen 36, beliau belum ditangkap atau ditahan. Oleh itu, isu berlakunya pelanggaran Perkara 5 sebelum perbicaraan adalah pramatang.

“Peruntukan itu juga tidak melanggar perkara 8 Perlembagaan Persekutuan (kedudukan sama rata di sisi undang-undang) kerana seksyen 36 ini tidak hanya terpakai kepada pemohon tetapi juga kepada orang lain yang dikemukakan dengan notis sama di bawah peruntukan ini, yang mana mereka akan dikenakan prosedur sama tanpa sebarang diskriminasi.

“Pemohon dilayan sama rata di sisi undang-undang dan tiada diskriminasi terhadapnya dalam konteks perkara 8 apabila beliau diperintahkan untuk mematuhi notis di bawah Seksyen 36.

“Tindakan pegawai SPRM adalah sama seperti mana-mana orang lain yang disiasat di bawah Akta SPRM 2009,” katanya.

Sementara itu, Hakim Azura Alwi menetapkan tarikh 21 Mac ini untuk mendengar permohonan Na’imah yang difailkan pada 29 Februari.

Selain itu, mahkamah turut menetapkan 9 Mei bagi bagi sebutan untuk permohonan hampir serupa difailkan suaminya pada 15 Mac lalu.

Pada 29 Januari lalu, Daim atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan gagal mematuhi notis SPRM dengan tidak mengisytiharkan 70 aset hartanya dan satu akaun amanah saham, Disember tahun lalu.

Na’imah pula didakwa dengan tuduhan sama pada 23 Januari lalu dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk Menara Ilham serta beberapa hartanah sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini