comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Petisyen berkaitan tafsiran perkataan Perlembagaan, bukan doktrin Islam – Tengku Maimun

Foto: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Petisyen seorang peguam dan anaknya yang mencabar keabsahan 20 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 hanya berkaitan pentafsiran perkataan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, petisyen itu tiada kena mengena dengan doktrin Islam.

Panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Tun Tengku Maimun hari ini mendengar petisyen difailkan Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, 62 dan Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman, 26 dengan menamakan Kerajaan Negeri Kelantan sebagai responden.

Panel itu turut dianggotai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah serta Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli.

Turut bersidang, Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri P. Nalini, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Pada prosiding itu, mahkamah sebulat suara menolak permohonan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) untuk bertindak sebagai pencelah atas alasan permohonan tersebut tidak berasas.

Ketika menolak permohonan berkenaan, Tun Tengku Maimun berkata, tidak timbul persoalan sama ada pihak pempetisyen mahupun mahkamah ingin menidakkan atau merendahkan kedudukan agama Islam di negara ini.

Dalam prosiding itu, peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili kedua-dua pempetisyen berhujah, 20 peruntukan kesalahan dalam enakmen terbabit bertindan dengan undang-undang Persekutuan yang turut meliputi kesalahan sama.

Peruntukan yang dicabar antaranya di bawah Seksyen 5 membabitkan tuntutan palsu, Seksyen 14 (liwat), Seksyen 17 (seks dengan bukan manusia) dan Seksyen 31 (gangguan seksual).

Sementara itu, peguam Datuk Kamaruzaman Muhammad Arif yang mewakili Kerajaan Negeri Kelantan berhujah, peruntukan undang-undang itu tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan sah untuk dikuatkuasakan.

Beliau juga memohon mahkamah mengkaji semula penghakiman kes Iki Putra Mubarrak berhubung isu serupa.

Pada 25 Februari 2021, Mahkamah Persekutuan sebulat suara membenarkan Iki Putra mencabar keabsahan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 berhubung kesalahan seks luar tabii.

Mahkamah kemudian menangguhkan prosiding untuk sambungan hujahan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Loading...
Terkini