comscore
Tumpuan :
Mahkamah

PRK KKB: Individu pamer gambar Yang di-Pertuan Agong kena penjara sebulan, denda RM3,000

Tertuduh, P Ramasamy dijatuhi hukuman penjara sebulan dan didenda RM3,000 kerana mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada sebuah kenderaan dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu.- Foto: NSTP

HULU SELANGOR: Seorang individu dijatuhi hukuman sebulan penjara dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu di sini, hari ini kerana mempamer gambar Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada sebuah kenderaan dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu (KKB) kelmarin.

Majistret Siti Fatimah Talib menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah daripada tertuduh, P Ramasamy, 66.

Siti Fatimah dalam keputusannya turut memerintahkan tertuduh dihukum 10 bulan penjara lagi jika gagal membayar denda itu.

Menurut Siti Fatimah, untuk hukuman penjara, ia berkuatkuasa dari tarikh tertuduh ditangkap kelmarin.

Dalam satu kenyataan semalam, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superitendan Ahmad Faizal Tahrim memaklumkan polis menahan dua lelaki berusia lingkungan 60-an dan merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda kerana mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong pada kempen PRK DUN KKB kelmarin.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4A (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana mengembangkan niat jahat.

Menurut fakta pertuduhan yang dibacakan Timbalan Pendakwaraya, Asmah Che Wan, tertuduh dari Tanjung Rambutan dikesan memandu kenderaan jenis Mazda bernombor pendaftaran AFA 6108 di Taman Bukit Bunga, Kuala Kubu Bharu.

Katanya, tertuduh membawa bendera Pakatan Harapan mempunyai gambar Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang dilekatkan di kedua-dua sisi dan belakang kenderaan serta sepanduk gambar Seri Paduka di belakang kenderaan.

Kenderaan itu juga dipasang dengan Jalur Gemilang dan bendera Johor serta bendera Pakatan Harapan (PH), ditahan di depan gelanggang bola keranjang Ulu Yam Lama.

“Hasil siasatan mendapati tertuduh membawa sepanduk PH dengan kecenderungan untuk mengembangkan perasaan permusuhan antara golongan pengundi yang berbeza dalam PRK KKB untuk mendorong mana-mana pengundi supaya mengundi calon PH.”

“Oleh yang demikian, kamu boleh melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4A (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.”

“Hukuman penjara boleh sampai lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan dan didenda kedua-duanya,” katanya.

Dalam pada itu, Ramasamy yang berbaju lokap berwarna oren merayu hukuman diringankan berikutan tidak tahu perbuatannya satu kesalahan.

“Saya minta ampun dan maaf, saya buat sebagai minat, saya tidak main-main atau provokasi dan minta rayuan dikurangkan denda,” katanya.

Dalam prosiding itu, Asmah memohon hukuman berat diberikan ke atas Ramasamy sebagai pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh tetapi untuk rakyat Malaysia keseluruhannya supaya insiden seperti itu tidak berulang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini