comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Prosiding permohonan semakan sabitan kes SRC Najib bersambung hari ini

Najib Razak hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk sambung bicara kes penyelewengan dana 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Februari lalu. – Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Prosiding perbicaraan bagi permohonan semakan Datuk Seri Najib Razak untuk membatalkan sabitan bersalah terhadapnya serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dalam kes rasuah membabitkan RM42 juta dana SRC International bersambung hari ini hingga Rabu.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli pada 19 Januari laluprosiding kepada 20 hingga 22 Februari depan.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hadir bagi permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan terdahulu yang mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. – Foto NSTP

Shafee memohon penangguhan itu kerana dia memerlukan 45 minit lagi untuk menggulung hujahan lisannya. Dia sebelum ini mendakwa panel mahkamah tertinggi yang diterajui oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat tahun lalu telah terkhilaf dalam menafikan permohonan pasukan peguam Najib Razak untuk menangguhkan perbicaraan rayuan SRC.

Susulan penangguhan itu, Najib diiringi pegawai penjara untuk pulang ke Penjara Kajang, berikutan penangguhan pendengaran semakan kes berkenaan.

Bekas perdana menteri itu memohon untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lalu atau agar rayuannya didengar semula.

Selain Hakim Abdul Rahman Sebli, turut akan bersidang sama hari ini adalah Hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong Lam Kiat, Rhodzariah Bujang dan Nordin Hassan.

Sementara itu, Hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais telah dipilih untuk berada di bangku simpanan berdasarkan Perkara 122 (2) Perlembagaan Persekutuan, demi kepentingan keadilan.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk V Sithambaram hadir bagi permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan terdahulu yang mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. – Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim

Timbalan Pendakwa Raya ad hoc V Sithambaram bertindak sebagai pihak pendakwaan.Ini adalah percubaan terakhir Najib, 69, melalui prosiding mahkamah untuk mengetepikan keputusan itu.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga telah memfailkan petisyen memohon pengampunan diraja atas sabitan beliau dalam kes SRC International.

Selain itu, Najib juga melalui Tetuan Shafee & Co pada 5 Januari memfailkan petisyen di kepada Kumpulan Kerja Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Penahanan Arbitrari (UNWGAD).

Petisyen itu difailkan di pejabat Suruhanjaya Tinggi Geneva melalui penghujahan digital dan dia memohon pembebasan atau perbicaraan semula berikutan pendengaran rayuan Mahkamah Persekutuan yang didakwanya mempunyai kecacatan serius dan bertentangan dengan peraturan keadilan antarabangsa.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini