comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pukul rakan dengan topi keledar, lelaki dipenjara 14 bulan 

FOTO: NSTP

MUAR: Seorang pekerja stor dihukum penjara 14 bulan selepas mengaku bersalah menagih dadah dan mencederakan rakannya dengan topi keledar, Jumaat lalu.

Ashraf Ariff Mansor, 31, mengaku bersalah di hadapan Majistret Fatin Dalilah Khalid.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh juga berhadapan satu pertuduhan mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana air kencing positif dadah jenis methamphetamine.

Mahkamah mengarahkan hukuman ke atas tertuduh berjalan serentak.

Mengikut fakta kes, kejadian berlaku apabila tertuduh didakwa naik angin terhadap rakannya sebelum bertindak mengambil topi keledar lalu memukul mangsa.

Sebelum kejadian, berlaku perselisihan antara mangsa dengan tertuduh berkaitan hutang peribadi pada jam 10.37 malam, 8 Disember lalu.

Susulan itu, mangsa cedera dan menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini sebelum membuat laporan di Balai Polis Parit Jawa.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Putera Amirool Faez Suhasi manakala tertuduh diwakili Nor Hafizah Abdullah daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Loading...
Terkini