comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Ranaco Marine, 2 pengarah didakwa gagal bayar cukai perkhidmatan

Ahmad Firdhaus Ramlan didakwa gagal membayar cukai perkhidmatan dan penalti di Mahkamah Sesyen Kemaman. – FOTO: Ihsan JKDM Terengganu

KEMAMAN: Syarikat pembekal dan perunding berkaitan marin, Ranaco Marine Sdn. Bhd. dan dua pengarah syarikatnya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan gagal membayar cukai perkhidmatan dan penalti berjumlah keseluruhan RM446,709.13

Wakil Ranaco Marine dan Ahmad Firdhaus Ramlan, 39, mengaku tidak bersalah selepas semua tujuh pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.

Seorang lagi pengarah syarikat, Norihan Ahmad, 71, tidak hadir pada prosiding berkenaan.

Mengikut pertuduhan satu hingga tujuh, Ranaco Marine bersama Norihan dan Ahmad Firdhaus didapati gagal membayar cukai perkhidmatan berjumlah RM319,077.97 dan penalti berjumlah RM127,631.16 kepada Ketua Pengarah Kastam seperti yang ditetapkan di bawah Seksyen 26 (4) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 (Akta 807).

Kesalahan itu didakwa dilakukan dalam tempoh Januari, Februari, Mac, April, September dan Oktober 2022 serta Januari hingga Ogos 2023.

Sementara itu, di mahkamah sama, pemilik syarikat pembersihan, Dynatrade View Resources, Ahmad Shukri Muda, 38, juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal membayar cukai perkhidmatan sebanyak RM16,585.76 dan penalti berjumlah RM6,634.30 bagi tempoh bercukai pada 1 September 2018 hingga 31 Oktober 2018.

Ahmad Shukri Muda didakwa gagal membayar cukai perkhidmatan dan penalti di Mahkamah Sesyen Kemaman. – FOTO: Ihsan JKDM Terengganu.

Dynatrade View Resources didakwa mengikut Seksyen 26 (7) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 (Akta 807) manakala Ranaco Marine Sdn Bhd didakwa mengikut Seksyen 26 (8) akta yang sama.

Bagi kesalahan itu, kesemua OKS berdepan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah mereka direkodkan, Wan Suhaila menetapkan 27 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula bagi kedua-dua kes berkenaan.

Mahkamah kemudian membenarkan Ahmad Shukri dari Dynatrade View Resources diikat jamin sebanyak RM1,500 manakala Ahmad Firdhaus dari Ranaco Marine Sdn Bhd dikenakan ikat jamin RM2,500 bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu, Muhammad Adam Zahid dan Nur Zahidah Razali manakala Dynatrade View Resources diwakili peguam, Mohd Hazwan Hamidun manakala Ranaco Marine Sdn Bhd tidak diwakili peguam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini