comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Sarjan polis mengaku tidak bersalah terima rasuah RM20,000

JOHOR BAHRU: Seorang anggota polis wanita berpangkat Sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas tuduhan menerima rasuah berjumlah RM20,000, dua tahun lalu.

S. Usha Nanthiny, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Siti Noraida Sulaiman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bertugas di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat, telah menerima suapan berjumlah RM20,000 daripada seorang lelaki agar tidak menahan isterinya.

Ia berhubung kesalahan di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan, yang sedang disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Segamat, ke atas wanita berkenaan.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di pejabatnya, di Segamat kira-kira jam 4.50 petang, pada 28 Ogos 2022.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Zander Lim Wai Keong manakala tertuduh diwakili peguam S. Selvantheran.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

24 Mac depan ditetapkan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Loading...
Terkini