comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Seleweng kutipan zakat RM9.62 juta: Suami isteri dibebas dengan bon mahkamah

Pasangan suami isteri yang ditahan reman – FOTO: NSTP

IPOH: Pasangan suami isteri yang ditahan reman berhubung siasatan ke atas sebuah syarikat yang dilantik sebagai ejen kutipan zakat Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak (MAIPk) disyaki menyeleweng kutipan zakat sebanyak RM9.62 juta, dibebaskan dengan jaminan bon mahkamah hari ini.

Jaminan bon itu dibenarkan Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan di Mahkamah Majistret, di sini, mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah selepas mendengar permohonan daripada Pegawai Penyiasat kes itu, rentetan tempoh tahanan reman pasangan terbabit berakhir hari ini.

Terdahulu, suami isteri berusia 50 dan 53 tahun itu, dibawa ke kamar mahkamah dengan tangan bergari.

Kedua-duanya dikenakan bon jaminan RM50,000 setiap seorang, masing-masing dengan seorang penjamin iaitu anak perempuan mereka serta menantu lelaki.

Turut hadir ke kamar adalah peguam mereka dari Tetuan S Ravichandran Annuar.

Jumaat lalu, Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dipetik berkata, tempoh reman pasangan suami isteri itu dilanjutkan tiga hari bermula Sabtu sehingga hari ini, selepas penahanan mereka pada 5 Januari lalu.

Pada 4 Januari lalu, penyelewengan disyaki dilakukan suami isteri yang berperanan sebagai ejen kutipan zakat secara dalam talian untuk MAIPk didedahkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan iaitu kerana jenayah pecah amanah selepas syarikat terbabit dipercayai gagal mendepositkan wang zakat bermula Mac hingga September 2023.

Dilapor, kes itu antara empat kes jenayah pecah amanah berkait kutipan zakat sepanjang tahun lalu dengan jumlah keseluruhan kerugian berjumlah RM9.71 juta.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini