comscore
Tumpuan :
Kes

[VIDEO] Syarikat pengendali pakej Umrah didenda RM80,300

 

Oleh: Kumaran Rajamoney

ALOR SETAR: Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan hukuman denda RM80,300 terhadap sebuah syarikat pengendali pakej umrah kerana gagal mematuhi 26 ‘award’ pampasan ditetapkan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) dalam tempoh 14 hari, tiga tahun lalu.

Majistret, Muhammad Zul Hilmi Latif menjatuhkan hukuman itu terhadap syarikat Massnizam Group Travel and Tours Sdn. Bhd. apabila pengarahnya, Mohd. Nizam Noh, 50, mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan itu dalam prosiding yang berlangsung selama dua hari iaitu semalam dan hari ini.

Mohd. Nizam yang juga seorang banduan di Penjara Kluang, terlebih dulu didenda sebanyak RM3,000 untuk setiap satu daripada keseluruhan 13 kes dihadapkan terhadapnya, dalam prosiding berlangsung semalam.

Manakala untuk hari ini, syarikat tersebut didenda RM3,000 bagi setiap satu dari 10 kes dihadapi serta RM3,300, RM3,500 dan RM4,500 bagi tiga lagi pertuduhan terhadapnya.

Mahkamah turut memerintahkan waran melevi dikeluarkan terhadap syarikat itu, sekiranya gagal membayar denda yang ditetapkan.

Mengikut pertuduhan, kesemua “award” dikeluarkan TTPM yang gagal dipatuhi itu bertarikh 3 Mac 2020.

“Award” dikeluarkan TTPM itu, syarikat tersebut diarahkan untuk membayar balik wang berjumlah RM395,737 kepada 26 individu dalam tempoh 14 hari sejak 3 Mac 2020 namun hingga kini, bayaran tersebut langsung tidak disempurnakan.

Pendakwaan dikendalikan tiga pegawai pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) iaitu Muhammad Nizam Amer, Saiful Saidin dan Mohd. Hilmi Abu Hassan manakala syarikat tersebut tidak diwakili peguam.

Pendakwaan dilakukan mengikut 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Mohd. Nizam ketika ini difahamkan sedang menjalani hukuman penjara selama 14 tahun di Penjara Kluang, atas kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Loading...
Terkini