comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Tempoh reman ibu bapa Zayn Rayyan disambung enam hari lagi

 

Oleh: Siti Khadijah Jaafar

PETALING JAYA: Tempoh reman ibu bapa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin disambung enam hari lagi bagi membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak malang itu.

Perintah lanjutan reman sehingga Rabu depan itu dikeluarkan Majistret Ainaa Muhammad Kamal di sini hari ini.

Reman tersebut bagi membolehkan siasatan lanjut terhadap pasangan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu ibu bapa kanak-kanak malang ini tiba di Mahkamah sekitar jam 9.28 pagi.

Hadir sama peguam yang mewakili mereka, Fahmi Abd Moin dan Ilyani Khuszairy.

Fahmi yang ditemui selepas proses permohonan lanjutan reman berkata, pihak PDRM pada mulanya memohon untuk menahan reman anak guamnya selama tempoh tujuh hari.

“Mahkamah membenarkan hanya enam hari kedua-dua mereka telah faham, kita telah terangkan kenapa prosiding ini perlu dilanjutkan dan saya rasa PDRM akan menyelesaikan siastaan dan diharapkan mereka dibebaskanlah selepas enam hari”, katanya.

Mengulas mengenai keadaan anak guamnya, Fahmi berkata, mereka berdua dalam keadaan baik.

“Pihak kami hanya dapat berjumpa dengan kedua-dua anak guam hanya sebelum prosiding bermula cuma mereka berdua sedikit tertekan dan amat sedih. Mereka tetap akan berikan kerjasama kepada pihak polis,” katanya.

Pasangan itu ditahan 31 Mei lalu di sekitar Puncak Alam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan sebelum ini berkata, penangkapan pasangan suami isteri itu adalah berdasarkan hasil maklumat risikan dan siasatan dari hari pertama kejadian.

Pada 5 Disember tahun lalu, kanak-kanak enam tahun itu dilaporkan hilang di Damansara Damai sebelum mayatnya ditemui berhampiran aliran anak sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari blok unit kediamannya di Apartment Idaman pada keesokan hari.

Mangsa kemudian disahkan dibunuh berdasarkan hasil bedah siasat yang menemui kesan kecederaan pada leher dan badannya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini