comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Terima rasuah RM16,000, SPRM tahan reman seorang penjawat awam wanita

KUALA SELANGOR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor telah menahan reman seorang penjawat awam kerana disyaki meminta dan menerima rasuah sebanyak kira-kira RM16,000 untuk kelulusan pecah bahagian tanah di salah sebuah Pejabat Daerah dan Tanah di negeri ini.

Perintah reman selama 4 hari bermula hari ini sehingga 10 Februari 2024 telah dikeluarkan oleh Majistret Puan Siti Hajar binti Ali selepas pihak SPRM membuat permohonan reman tersebut di Mahkamah Majistret Kuala Selangor, Selangor pagi tadi. Suspek diwakili peguam Jeanne Francis dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Sumber memberitahu, suspek perempuan berusia lingkungan 40-an dipercayai ditahan kira-kira jam 2 petang semalam di pejabat SPRM cawangan Kuala Selangor ketika diminta hadir memberi keterangan.

“Suspek dipercayai meminta dan menerima wang rasuah daripada tiga pemilik tanah di sekitar daerah tersebut yang ingin memohon kelulusan pecah bahagian tanah.

“Siasatan awal mendapati suspek telah meminta dan menerima wang rasuah kira-kira RM16,000 yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi miliknya pada tahun 2022,” kata sumber tersebut.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini