comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Tikam isteri, bekas tentera direman seminggu

 

KANGAR: Suami kepada jururawat yang maut ditikam dengan sebilah pisau di sebuah rumah di Jalan Padang Nyu, Arau semalam, direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 7 Oktober hadapan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Suspek 38, yang juga bekas anggota tentera itu dipercayai membunuh Munirah Abu Bakar, 31 yang bertugas di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar dengan menikam di bahagian kiri dada mangsa.

Perintah reman dikeluarkan jam 8.45 pagi oleh Majistret Mahkamah Kangar, Siti Norhasliza Md Ali di Mahkamah Majistret Kangar selepas dibawa ke mahkamah berkenaan sekitar jam 8.30 pagi. Ketua Polis Daerah Arau, Superitendan Ahmad Mohsin Md Rodi ketika dihubungi mengesahkan reman suspek.

Dalam kejadian jam 6 pagi semalam, dipercayai berlaku pergaduhan antara suspek dengan mangsa di riang tamu rumah itu tatkala mangsa sedang dalam bersiap untuk keluar bertugas.

Suspek yang ‘naik angin’ selepas itu secara tiba-tiba mengambil pisau dan menikam dada mangsa.

Selepas membunuh mangsanya, suspek dikatakan membawa wanita berkenaan ke dalam bilik utama dan menutup mayat mangsa dengan selimut tebal sebelum bertindak memandu kereta dan menghantar dua anak mereka berusia lapan dan 10 tahun ke rumah pengasuh.

Selepas itu, suspek kemudian menyerah diri dengan memaklumkan kejadian berkenaan di pondok pengawal Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis sekitar jam 10 pagi sebelum polis ke tempat kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

|ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini