comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Isteri maut ditikam suami akibat cemburu 

 

ARAU: Seorang lelaki ditahan kerana disyaki menikam mati isterinya dengan sebilah pisau di kediaman pasangan itu di Jalan Padang Nyu, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata mayat wanita itu ditemukan di bilik tidur kediaman berkenaan dalam keadaan berlumuran darah dan ditutupi dengan selimut tebal, selepas suspek tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis pada kira-kira jam 10 pagi.

Beliau berkata wanita berumur 31 tahun yang bekerja sebagai jururawat itu dipercayai ditikam dengan sebilah pisau pada bahagian dada kiri dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi, dengan tikaman sedalam kira-kira dua sentimeter dikesan pada mangsa.

“Suspek yang juga seorang pesara tentera berumur 38 tahun dipercayai bergaduh dengan isterinya akibat cemburu,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Katanya, pasangan itu meninggalkan dua anak lelaki, masing-masing berusia lapan dan 10 tahun.

Ahmad Mohsin berkata polis turut menemukan sebilah pisau yang disimpan dalam sebuah beg di dapur rumah itu yang dipercayai digunakan dalam kejadian.

Siasatan awal mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah Hospital, Alor Setar untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini