comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Nenek 75 tahun, tiga lelaki mengaku tidak bersalah miliki, edar dadah

Warga emas, Chan Ah Moi bersama tiga lagi tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Pontian hari ini atas pertuduhan mengedar dadah awal bulan ini. – FOTO: NSTP

PONTIAN: Seorang wanita warga emas, Chan Ah Moi, 75, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Pontian di sini atas tiga pertuduhan mengedar dan memiliki dadah awal bulan ini.

Turut berdepan pertuduhan sama, Chan Chui Lai, 59; Tan Chee Seong, 50, dan Lim Huang Kin, 40.

Keempat-empat mereka hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Azzuin Abdul Moati.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kes adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh secara bersama didakwa mengedar dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MMDA) seberat 23,572.74 gram dan 532.59 gram serta kanabis seberat 362.02 gram.

Chui Lai turut berdepan satu lagi pertuduhan mengedar dadah jenis MMDA seberat 1638.81 gram.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah 39B(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah dihukum sebat tidak kurang 15 sebatan, jika tidak dijatuhkan hukuman mati.

Sementara itu di mahkamah sama, kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki dadah jenis ketamin seberat 232.6 gram.

Chui Lai turut mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan memiliki dadah jenis Nimetazepam seberat 275 gram.

Kesemua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan itu di sebuah rumah atas air di Kukup Laut, Pontian kira-kira jam 1.30 pagi 4 Mei lalu.

Tiada jaminan ditawarkan memandangkan kes berkenaan tidak boleh diberi jaminan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurezzati Zaini manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 21 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menantikan laporan kimia.

Pada Jumaat lalu, Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar dilaporkan berkata seorang wanita warga emas berusia 75 tahun antara empat yang ditahan kerana disyaki terlibat kegiatan sindiket pengedaran dan pembungkusan dadah di rumah atas air di Pontian.

Polis turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM4.3 juta dalam serbuan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini