comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Zahid lepas tanpa bebas semua 47 tuduhan rasuah, pecah amanah Yayasan Akalbudi

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, hari ini dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Keputusan dibuat Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap  Zahid pada peringkat ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. FOTO: NSTP

Bagaimanapun, peguam bela Datuk Hisyam Teh Poh Teik memohon supaya  Zahid, 70, dibebaskan daripada semua tuduhan kerana ia tidak adil kepada anak guamnya berikutan tuduhan ke atasnya ‘tergantung’ tanpa ada kepastian.

Katanya, oleh kerana pendakwaan sudah memutuskan untuk tidak meneruskan prosiding terhadap   Zahid, anak guamnya dengan itu hendaklah dibebaskan oleh mahkamah.

Pada 24 Ogos lalu, peguam bela Datuk Hisham Teh Poh Teik, Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd Noh, dalam satu kenyataan  memohon keputusan segera terhadap representasi yang dihantar pada 8 Disember 2022 dan 25 Januari 2023  sebelum pihak pembelaan memanggil lebih ramai saksi dalam perbicaraan kes berkenaan.

FOTO: NSTP

Permohonan representasi setebal 200 muka surat itu turut dikepilkan surat daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, bertarikh 20 Februari lalu yang menyatakan agensi itu menjalankan siasatan lanjut berhubung bukti baharu dikemukakan pihak pembelaan.

Zahid berdepan 47 pertuduhan iaitu lapan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Artikel berkaitan: Kes rasuah Zahid: Pendakwa mohon henti prosiding

Bagi tuduhan pecah amanah, beliau didakwa menggunakan dana yayasan untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

 

Beliau juga dituduh menerima suapan daripada syarikat Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti Menteri Dalam Negeri ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Bagi 27 pertuduhan pengubahan wang haram, Zahid didakwa membabitkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 26 Mac 2016 dan 11 April 2018.

 

Loading...
Terkini