comscore
Tumpuan :
Nasional

Mangsa terdedah banjir akan dipindahkan lebih awal – Zahid 

Oleh: Fazli Ahmad

TEMERLOH: Mangsa sering terdedah dengan banjir akan dipindahkan lebih awal sebelum bencana itu berlaku berdasarkan sistem amaran awal.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan berkata, tindakan itu akan dilakukan membabitkan mangsa di kawasan tertentu sering terjejas banjir berdasarkan rekod sebelum ini.

Menurutnya kerajaan akan melaksanakan sistem amaran berdasarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) berpandukan ramalan luruhan hujan.

Katanya, hingga kini tiga daerah di semenanjung dan dua daerah di Sabah dikenal pasti sering mengalami hujan lebat dan berisiko banjir ketika Monsun Timur Laut antara November dan Januari setiap tahun.

“Kita sudah mempunyai sistem amaran serta Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mempunyai senarai nama mangsa dan kawasan sering dilanda banjir dan mereka akan dinasihatkan berpindah awal tetapi bergantung kepada luruhan hujan.” katanya pada sidang media ketika melawat tapak Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Semantan di Temerloh, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Armizan Mohd Ali.

Menurut Ahmad Zahid, berdasarkan rekod tiga daerah di Semenanjung Malaysia iaitu Temerloh di Pahang,  Segamat dan Kota Tinggi di Johor dikenal pasti sering menerima hujan paling lebat setiap musim tengkujuh.

Selain itu katanya, di Sabah, dua daerah turut terdedah dengan fenomena sama iaitu Kota Belut dan Marudu.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini