comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Zahid perlu hadir mesyuarat Kabinet, bicara kes rasuah disambung esok

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam bagi perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi. – Foto : NSTP

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, menangguhkan perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi dihadapi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri  Ahmad Zahid Hamidi yang sepatutnya bersambung pagi ini, bagi membolehkan beliau menghadiri mesyuarat Kabinet hari ini.

Peguam bela, Datuk Hisyam Teh Poh Teik ketika ditemui pemberita berkata Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan prosiding bersambung esok.

“Kami memohon penangguhan pagi ini kerana Datuk Seri (Ahmad Zahid) perlu menghadiri mesyuarat Kabinet”, katanya.

Ahmad Zahid, 70, berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 bagi pecah amanah, lapan berhubung rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jutaan ringgit dana milik yayasan itu.

Perbicaraan kes hari ini sepatutnya bersambung dengan mendengar keterangan bekas Setiausaha Eksekutif Ahmad Zahid, Datuk Rosiah Osman, pada sesi pemeriksaan utama.

Dalam keterangannya semalam, Rosiah memberitahu Mahkamah Tinggi, Ahmad Zahid mendahulukan pembelian barang kelengkapan untuk disumbangkan kepada masjid bagi aktiviti kebajikan Yayasan Akalbudi dengan menggunakan kad kredit peribadinya.

Menurut Rosiah yang berkhidmat sebagai Setiausaha Eksekutif Ahmad Zahid dari  1994 sehingga 2011, wang Yayasan Akalbudi kemudian dikeluarkan bagi membayar balik pembelian berkenaan ke dalam kad kredit Presiden UMNO itu.

Loading...
Terkini