comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Zuraida anggap tuntutan RM10 juta tidak berasas

KUALA LUMPUR: Datuk Zuraida Kamaruddin yang diarah membayar RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi kepada PKR, mendakwa tuntutan berkenaan sebagai tidak berasas.

Bekas Naib Presiden PKR itu mendakwa keputusan berkenaan jelas bercanggah dengan hak rakyat untuk menyertai dan meninggalkan sesuatu pertubuhan.

Sehubungan itu, Zuraida yang juta bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan.

“Keputusan ini adalah salah kerana ia melucutkan hak rakyat untuk bersekutu atau berpisah yang merupakan hak asasi dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Saya akan merayu keputusan ini bukan sahaja untuk saya tetapi demi menegakkan hak penting ini yang menjadi milik semua rakyat Malaysia.

“Ini juga bertentangan dengan dasar awam dan bertentangan dengan prinsip asas demokrasi. Juga tiada justifikasi pada tuntutan RM10 juta,” katanya hari ini.

Pada Jumaat lalu, Mahkamah Tinggi di sini, membenarkan saman PKR untuk menuntut RM10 juta daripada Zuraida kerana melanggar syarat bon yang mengikat kepada parti.

Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas mendapati hujahan Zuraida bahawa bon itu ditandatanganinya atas alasan dipaksa adalah tidak berasas.

Mahkamah juga memerintahkan Zuraida membayar kos RM50,000 kepada PKR.

PKR memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan pada 28 September 2020 melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, selaku plaintif dengan menamakan Zuraida selaku defendan.

Menerusi saman itu, PKR mendakwa Zuraida bersetuju membayar parti sejumlah RM10 juta selewat-lewatnya tujuh hari sekiranya berlaku beberapa perkara selepas memenangi pilihan raya atas tiketnya seperti meletak jawatan dalam parti atau bergabung dengan pihak lain atau menjadi wakil rakyat bebas.

Pada 24 Februari 2020, Zuraida dalam satu kenyataan bersama 10 Ahli Parlimen PKR yang lain mengumumkan peletakan jawatan, namun beliau kekal sebagai Ahli Parlimen Ampang iaitu kerusi yang dimenanginya atas tiket PKR dan seterusnya membentuk blok baharu dikenali Perikatan Nasional (PN).

PKR turut menuntut Zuraida membayar RM12,049,459.20 mengikut Seksyen 71 Akta Kontrak, faedah lima peratus setahun, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Akhtar berkata, dakwaan Zuraida bahawa RM10 juta adalah tidak seimbang dengan jumlah yang dibelanjakan untuk pencalonan pilihan raya juga tidak berasas.

Loading...
Terkini