comscore
Tumpuan :
Politik

Permohonan Zuraida untuk isytihar Presiden PBM ditolak

Bekas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin. FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin gagal untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi perisytiharan Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang sah apabila permohonannya ditolak Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Hakim Datuk Amarjeet Singh berkata, mahkamah tidak boleh membuat apa-apa inkuiri terhadap hal ehwal dalaman parti berdasarkan Seksyen 18 C Akta Pertubuhan 1966.

Berdasarkan seksyen itu juga, mahkamah jelas beliau, terikat dengan keputusan dibuat oleh mahkamah yang lebih tinggi.

Pada April lalu, Pejabat Peguam Negara membantah permohonan kebenaran Zuraida dengan alasan Seksyen 18 C Akta Pertubuhan menetapkan keputusan membabitkan parti adalah muktamad dan tidak boleh dicabar, dirayu atau dipersoalkan di mahkamah.

Zuraida, 65, memfailkan permohonan kebenaran itu 24 Mac lalu.

Beliau menamakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sebagai responden tunggal, dengan memohon pengisytiharan bahawa tindakan RoS mengekalkan Datuk Larry Soon@Larry Sng Wei Shen sebagai Presiden PBM adalah tidak sah.

Beliau juga memohon perintah mandamus untuk mengarahkan RoS mengiktiraf beliau sebagai presiden PBM berkuat kuasa 7 Oktober 2022.

Dalam afidavit sokongannya, Zuraida berkata, beliau menerima surat daripada PBM pada 27 Oktober 2022, memaklumkan pelantikannya sebagai presiden PBM.

Bagaimanapun, Zuraida berkata, beliau menerima surat daripada parti itu bertarikh 19 Disember tahun lalu yang menyatakan Soon mengisytiharkan dirinya sebagai presiden PBM dan menggantung keahliannya (Zuraida).

Beliau mengetahui mengenai pemecatannya daripada PBM melalui portal berita The Star pada 27 Disember 2022, namun tidak pernah menerima sebarang notis, surat atau makluman daripada parti itu mengenai pemecatannya.

Loading...
Terkini