comscore
Tumpuan :
Politik

PBM Negeri Sembilan lumpuh, seluruh AJK letak jawatan

Gambar fail pada 9 Jun 2022 menunjukkan Presiden PBM, Datuk Larry Sng bersama Datuk Zuraida Kamaruddin. – FOTO: NSTP

SEREMBAN: Seluruh ahli jawatankuasa (AJK) Parti Bangsa Malaysia (PBM) Negeri Sembilan meletak jawatan dan membubarkan jawatankuasa itu serta-merta atas alasan hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap kepemimpinan Datuk Larry Sng.

Pengerusi PBM Negeri Sembilan, Rosman Jonet, berkata keputusan berkenaan hasil Mesyuarat Khas Jawatankuasa Majlis Pimpinan Negeri yang diadakan di Laman Permai Juasseh, Kuala Pilah, dekat sini, pada Jumaat lalu.

“Secara konsensus dan permuafakatan, barisan kepemimpinan negeri ini bersetuju meletak jawatan serta membubarkan keseluruhan jawatankuasa negeri dan bahagian PBM Negeri Sembilan berkuat kuasa serta-merta.

“Peletakan jawatan dan pembubaran jawatankuasa ini membabitkan lapan bahagian, iaitu Port Dickson, Jempol, Tampin, Rasah, Rembau, Jelebu dan Kuala Pilah, termasuk sayap Pemuda dan Wanita.

“Keputusan dibuat kerana hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap kepimpinan Datuk Larry sebagai presiden,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau menegaskan, tindakan itu juga berkaitan langkah Larry yang didakwa tanpa mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) telah memecat keahlian Datuk Zuraida Kamaruddin dan beberapa pemimpin lain dalam PBM.

Katanya, tindakan Ahli Parlimen Julau itu disifatkan sebagai salah guna jawatan, angkuh, tidak beradab dan tidak berdisiplin serta gagal berfikir secara rasional dalam menguruskan parti dengan baik sehingga masyarakat umum memperlekehkan PBM.

“Datuk Larry hanya pentingkan diri sendiri dengan tindakannya yang sering mendedahkan hal-hal kerahsiaan parti di platform media sosial. Ditambah lagi dengan kenyataan berbolak-balik yang ternyata merosakkan imej PBM.

“PBM sudah tidak lagi mempunyai hala tuju yang jelas dalam visi perjuangannya,” dakwanya.

Rosman juga mendakwa Larry memungkiri janji berhubung proses peralihan kuasa dan penyerahan jawatan presiden parti kepada Zuraida dengan serta-merta seperti yang telah dipersetujui pada 9 Jun 2022.

“Mandat dan ketetapan peralihan kuasa presiden ini juga telah diabsahkan melalui usul pada Persidangan Agung Tahunan Nasional (PATN) PBM pada 1 Oktober 2022. Bagaimanapun, presiden tidak hormati dan mungkirinya,” katanya.

Loading...
Terkini