comscore
Tumpuan :
Nasional

120 kotak ekor lembu sejuk dari Brazil disita

MAQIS Pulau Pinang menyita 120 kotak produk mengandungi ekor lembu sejuk beku dari Brazil ketika mengadakan pemeriksaan di Pelabuhan Pangkalan Kontena Utara Butterworth (NBCT).

BUTTERWORTH: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang menyita 120 kotak produk mengandungi ekor lembu sejuk beku dari Brazil ketika mengadakan pemeriksaan di Pelabuhan Pangkalan Kontena Utara Butterworth (NBCT), di sini, Khamis lalu.

Pengarah MAQIS negeri, Muhammad Ikram Abd Talib, berkata pihaknya menjalankan pemeriksaan rutin sebelum menemui sebuah kontena yang membawa kotak berisi ekor lembu berkenaan.

Katanya, siasatan lanjut mendapati terdapat 3000 bahagian atau keratan ekor lembu yang dianggarkan bernilai RM76,000 dibawa masuk menggunakan maklumat tidak tepat dan mengelirukan.

“Berikutan itu, kesemua dagangan itu ditahan untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

“Dalam akta ini, adalah menjadi satu kesalahan bagi mana-mana orang yang memberikan maklumat yang palsu, tidak tepat atau mengelirukan dalam pengimportan keluaran pertanian.

“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau keduanya sekali,” katanya.

Tegasnya, MAQIS sentiasa melakukan pemeriksaan keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke dalam negara bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar serta mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan kerajaan.

Loading...
Terkini