comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 121 rakyat Malaysia terkandas di Myanmar selamat dibawa pulang

 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Seramai 121 rakyat Malaysia yang terkandas di Laukkaing, Myanmar dan disyaki menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan, selamat tiba di tanah air awal pagi tadi.

Dalam kenyataan hari ini, Wisma Putra mengesahkan kesemua mangsa dibawa pulang ke tanah air melalui penerbangan khas dari Kunming, China dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang jam 3.24 pagi.

Ketibaan mereka disambut Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin.

Wisma Putra memaklumkan, Kedutaan Besar Malaysia di Yangon, Myanmar dan Konsulat Jeneral Malaysia di Kunming berjaya menyelaras misi evakuasi tersebut dengan baik melalui sempadan negara Myanmar-China bermula pagi semalam (30 November) dengan kerjasama dan kelulusan negara terlibat.

“Tindakan evakuasi ini dapat dilaksanakan dengan berkesan berikutan pertemuan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dengan kedua-dua Naib Premier China, Liu Guozhong dan Ding Xuexiang semasa lawatan rasmi beliau ke China pada 16 November lalu,” menurut kenyataan itu.

Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata, kesemua rakyat Malaysia yang terkandas di utara Myanmar itu telah diberikan bantuan konsular dan logistik setelah memasuki sempadan China oleh Konsulat Jeneral Malaysia di Kunming.

Ini termasuk penyelarasan penerbangan khas dari Lapangan Terbang Cangyuan Washan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kunming Changshui.

Selain itu, Kerajaan Malaysia turut membawa pulang seorang warga Indonesia dari Laukkaing setelah menerima permohonan rasmi dari kerajaan republik berkenaan.

“Kementerian Luar ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak berwajib di Myanmar dan Kerajaan China serta agensi Kerajaan Malaysia dan pihak persendirian yang terlibat secara langsung atau tidak, atas kerjasama baik yang diberikan dalam memastikan prosesevakuasi ini dapat dilaksanakan dengan berkesan,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, Wisma Putra memaklumkan, seramai 109 warga Malaysia dilaporkan terkandas di Laukkaing susulan pergolakan di wilayah terbabit dan kebanyakan mereka dipercayai adalah mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini