comscore
Tumpuan :
Nasional

150 kanak-kanak gunting rambut percuma Aidilfitri

KUANTAN: Seramai 150 kanak-kanak berusia lima hingga 18 tahun menyertai program gunting rambut percuma sempena Aidilfitri anjuran Yayasan Pahang yang diadakan bagi meringankan ibu bapa dan penjaga berpendapatan rendah.

Program itu turut mendapat kerjasama daripada Kolej Yayasan Pahang Advanced Skills Kubang Buaya, di sini yang menyediakan masing-masing 15 tukang gunting dan pembantu dan mereka sedang mengikuti latihan dibawah skim program jaminan kerjaya.

Pengurus Korporat dan Pembangunan Perniagaan Kolej Yayasan Pahang Advanced Skills (KYPAS), Mohd Norsham Nisam Abd Malik, berkata tujuan syarikat kerajaan negeri itu mengadakan program

berkenaan adalah untuk membantu serta meringankan beban keluarga berpendapatan rendah terutama menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

“Bagi ibu bapa yang mempunyai ramai anak mereka terpaksa mengeluarkan belanja besar untuk menggunting rambut, sekarang upah gunting rambut bagi kanak-kanak agak tinggi antara RM10 hingga RM15 seorang.

“Dengan harga setinggi itu ia membebankan ibu bapa, justeru Yayasan Pahang terpanggil untuk mengadakan program gunting rambut percuma sempena Aidilfitri tahun ini,” katanya yang turut sama memantau program berkenaan di kompleks Yayasan Pahang Tanjung Lumpur, di sini kelmarin.

Beliau menambah, proses mengunting rambut mengambil masa antara 10 hingga 20 minit bagi setiap kanak-kanak dan rata-rata mereka kelihatan begitu selesa apabila dilayan dengan mesra oleh tukang gunting terdiri daripada golongan belia.

Mohd Norsham Nisam berkata, program gunting rambut percuma sempena Aidilfitri kali pertama diadakan, sebelum ini setiap tahun pihaknya mengadakan program gunting rambut menjelang sesi persekolahan bermula.

“Lebih menarik lagi pada program kali ini, selepas selesai mengunting rambut kanak-kanak berpeluang mendapat duit raya RM10 yang disediakan oleh Yayasan Pahang,” katanya berpuas hati dengan sambutan yang diterima.

Loading...
Terkini