comscore
Tumpuan :
Nasional

164 keluarga Media Prima berangkat ke Tanah Suci

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

SEPANG: Seramai 164 jemaah terdiri daripada pengurusan tertinggi dan kakitangan Kumpulan Media Prima Berhad (Media Prima) serta ahli keluarga masing-masing berangkat ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah umrah hari ini

Menerusi Program Umrah dan Ziarah 2022, rombongan berkenaan berlepas ke Makkah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 6.30 petang ini.

Turut berangkat, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh dan isteri, Datin Norenshah Sahari serta dua anaknya, Ilya Karnain dan Ilhan Rayyan.

Khairul Anwar berkata, beliau teruja untuk bersama keluarga Media Prima ke Tanah Suci bagi menunaikan umrah dan berharap program mereka berjalan lancar, selain mendoakan jemaah diberikan kesihatan yang baik untuk menyempurnakan ibadah.

“Kita datang bersama-sama dengan keluarga masing-masing dan juga keluarga Media Prima. Saya tidak sabar dan teruja kerana dapat bersama-sama mereka di Tanah Suci Makkah dan Madinah.

“Tentunya saya mendoakan agar kita (Media Prima) dalam momentum sama kerana sepanjang dua tahun lalu, kita berada dalam keadaan yang amat sihat. Kita doakan supaya Media Prima pada 2023 terus menunjukkan prestasi cemerlang,” katanya ketika ditemui di KLIA di sini, hari ini.

Rombongan itu juga disertai Timbalan CEO Rangkaian Televisyen Media Prima, Nini Yusof; Penolong Pengarang Jabatan Berita dan Ehwal Semasa Media Prima, Ima Liana Esa dan suami, Mohd Hafiz Omar yang juga Pembantu Penerbitan jabatan sama; serta Eksekutif Pentadbiran Jabatan Berita dan Ehwal Semasa Media Prima, Siti Nur Atiqah Othman dan suami yang juga Penerbit Teknik Media Prima, Zaidi Tan Abdullah.

Menurut Pengurus Kanan Perhubungan Pekerja Media Prima, Fauzi Hashim, program kali ke-15 itu dianjurkan syarikat sejak 2004.

Katanya, program tahunan berkenaan diadakan bagi memberi peluang kepada kakitangan terutama mereka yang belum pernah ke Tanah Suci menunaikan umrah.

“Alhamdulillah program ini kembali tahun ini dan sambutan amat memberangsangkan setelah dua tahun tertangguh akibat COVID-19.

“Walaupun harga pakej umrah sedikit mahal tetapi syarikat berbesar hati membiayai sebahagian kos dengan memberi subsidi kepada kakitangan yang layak.

“Perancangan awal program berjalan lancar insya-Allah dan kita doakan mudah-mudahan program ini dipermudah dan diterima Allah SWT. Program ini diadakan dengan harapan kakitangan menjadi insan yang lebih baik dan ibadah diterima Allah SWT di samping dapat berdoa untuk diri sendiri, kerjaya dan MPB khususnya,” katanya.

Penolong Pengurus Jualan Media Prima Omnia, Maria Tunku Sabri yang turut menyertai rombongan berkenaan berkata, ini adalah kali ke-3 beliau menyertai program ini bersama keluarga Media Prima.

“Kali ini saya pergi bersama suami dan anak serta sahabat di pejabat. Saya rasa sangat seronok sebab kami akan jaga kami, maksudnya kita akan jaga di antara satu sama lain dan insya-Allah doakan kami mendapat umrah mabrur.

“Apabila pergi bersama syarikat, kami rasa selamat dan tidak akan ada masalah kerana syarikat akan pastikan semua berjalan lancar serta membuat perancangan teratur supaya jemaah mendapat yang terbaik daripada syarikat,” katanya yang berterima kasih kepada syarikat atas penganjuran program dan berharap ia diteruskan pada masa akan datang.

Rombongan dijangka pulang ke tanah air pada 4 Januari depan.

Loading...
Terkini