comscore
Tumpuan :
Nasional

170,000 Penonton Mampu Dicapai

KUALA LUMPUR: “Saya perlu kekal percaya bahawa kami mampu mencapai sasaran seperti pada 2019.”

Demikian keyakinan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Azhan Shafriman Hanif yang menyasarkan kehadiran lebih 170,000 penonton menyaksikan Kejuaraan Dunia Grand Prix Motosikal (MotoGP) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 21 hingga 23 Oktober ini.

Meskipun jualan tiket agak lembap ketika ini sejak ia mula dijual April lalu, Azhan tetap percaya angka itu yang memecahkan rekod kehadiran paling ramai penonton pada 2019, mampu dicapai selepas penganjuran pada 2020 dan tahun lalu dibatalkan berikutan pandemik Covid-19.

“Saya tahu pada tahun ini kami agak lewat memulakan promosi kerana seperti anda ketahui, sektor ekonomi dan pembukaan sempadan negara hanya mula dibuka semula pada April lalu.

“Jadi dalam konteks perancangan, memang kami agak lewat tetapi saya yakin dengan sokongan Petronas dan pengumuman Damok (pelumba negara, Syarifuddin Azman) beraksi menerusi tiket wild card, sasaran kehadiran penonton sepertimana 2019 mampu dicapai.

“Kami berharap setiap rakyat Malaysia akan hadir dan memberi sokongan kepada GP Malaysia pada tahun ini,” katanya.

Azhan tidak menafikan peningkatan harga tiket berikutan kenaikan 25 peratus cukai hiburan selain peningkatan kos untuk menganjurkan GP Malaysia adalah antara faktor kelembapan penjualan tiket.

“Tapi jika dibandingkan dengan perlumbaan lain di sekitar kita, harga tiket GP Malaysia adalah paling murah,” katanya.

Azhan sebelum berkata, jualan tiket belum mencecah 50 peratus dan salah satu faktor adalah disebabkan ketiadaan pelumba Malaysia dalam penganjuran edisi kali ini. – Harian Metro

Loading...
Terkini