comscore
Tumpuan :
Nasional

2.5 juta rakyat dewasa hidap kencing manis, darah tinggi, kolestrol tinggi, obesiti

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bergambar bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dan Wakil WHO ke Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura, Dr Rabindra Abeyasinghe (kiri) ketika Majlis Pelancaran Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) & Global Adult Tobacco Survey (GATS) Malaysia 2023 di Putrajaya hari ini. FOTO: NSTP

PUTRAJAYA: 2.5 juta penduduk dewasa negara ini menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) iaitu kencing manis, tekanan darah tinggi, kolestrol tinggi dan obesiti.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata hasil penyelidikan itu didapati menerusi Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023: Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) dan Permintaan Jagaan Kesihatan serta Global Adult Tobacco Survey (GATS) Malaysia.

Katanya, keempat penyakit NCD itu menyumbang risiko utama kepada penyakit jantung dan serangan angin ahmar atau strok dengan seramai 2.3 juta daripada jumlah penduduk dewasa negara ini menghidap tiga daripada empat penyakit berkenaan.

“Tinjauan NHMS 2023 mendapati sebahagian besar daripada individu dewasa menghidap kencing manis, tekanan darah tinggi, dan kolesterol tinggi yang tidak didiagnosis tergolong dalam kelompok yang berumur lebih muda.”

“Penemuan ini amat membimbangkan kerana NCD yang tidak didiagnosis dalam kalangan kumpulan umur lebih muda akan memberi komplikasi kesihatan lebih awal kepada kelompok ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Hasil Penyelidikan NHMS 2023: Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) dan Permintaan Jagaan Kesihatan serta GATS Malaysia 2023 di Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan (KKM) di sini, hari ini.

Katanya, sejak tahun lalu, KKM memperluaskan program saringan kesihatan kepada individu berusia 18 tahun dan ke atas melalui Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan atau National Health Screening Initiative (NHSI) iaitu salah satu inisiatif Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) di bawah Teras 3, iaitu Kawalan Kesihatan Kendiri.

“Ia menekankan pemerkasaan diri dan literasi kesihatan melalui saringan kesihatan secara berkala yang merangkumi tekanan darah, tahap glukosa dalam darah, tahap kolesterol dalam darah, indeks jisim badan (BMI) dan saringan kesihatan mental.”

“Trend peningkatan prevalens orang dewasa berlebihan berat badan dan obesiti dalam kalangan dewasa memerlukan perhatian serius dan memerlukan tindakan bagi mengatasi serta mencegah komplikasi kesihatan yang berkaitan.”

“Salah satu faktor menyumbang kepada peningkatan prevalens ini adalah pengambilan gula secara berlebihan.”

“Ini dibuktikan oleh beberapa kajian yang dijalankan di dalam negara,” katanya.

Jelas Dzulkefly, dalam usaha membendung masalah ini, kerajaan melaksanakan pendekatan fiskal iaitu pengenaan cukai eksais kepada minuman bergula dan minuman pra-campuran yang diterajui oleh Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini