comscore
Tumpuan :
Nasional

2 TPM, barisan Kabinet dijangka diumum esok?

PETALING JAYA: Dua Timbalan Perdana Menteri dijangka dilantik dalam senarai 25 ahli Kabinet pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut sumber itu kepada FMT, Timbalan Perdana Menteri itu dijangka daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO.

PKR, UMNO, DAP dan GPS mungkin diberi jawatan menteri paling banyak.

Manakala Warisan, Amanah dan UPKO juga dijadual dimasukkan dalam Jemaah Menteri pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

Sumber berkata, Anwar dijangka mengumumkan barisan Jemaah Menteri itu esok.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10, Khamis lalu.

Sebelum ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang lebih dikenali sebagai ‘Tok Mat’ dikatakan bakal mengisi satu daripada dua jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Terdapat juga khabar angin mendakwa Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam Jemaah Menteri kali ini.

Anwar turut digesa supaya tidak menyenaraikan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam Jemaah Menteri dan Ahli Parlimen lain yang berdepan kes mahkamah.

Ini termasuklah Pengerusi DAP Lim Guan Eng dan Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta yang lain.

Bagaimanapun, semalam bekas naib presiden PKR Tian Chua berkata, Ahmad Zahid memainkan peranan penting dalam pembentukan kerajaan perpaduan yang akhirnya menyaksikan BN bersetuju bekerjasama dengan PH, sebelum gabungan dan parti lain menyusuli selepas itu.

Loading...
Terkini