comscore
Tumpuan :
Nasional

200 syarikat disasar sertai Academy in Industry

FOTO: NSTP

PUTRAJAYA: Sebanyak 200 buah syarikat daripada pelbagai sektor disasarkan terlibat dalam proram Academy in Industry (AiI) sehingga hujung tahun ini bagi melatih seramai 20,000 pelajar lepasan sekolah untuk menjadi pekerja berkemahiran.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, di bawah program itu pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dilatih oleh syarikat berkenaan selama 18 bulan dan mereka akan mendapat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1 selepas tamat tempoh latihan.

“Kaedah ini lebih menarik buat anak muda lepasan sekolah daripada mereka pergi ke institusi pengajian tinggi kemudian belajar dua tiga tahun baru nak menyertai sektor pekerjaan,” katanya.

Tambah Rafizi, melalui kaedah itu peserta boleh masuk terus ke sektor pekerjaan dan pada masa sama menimba ilmu pengetahuan.

Menurut Rafizi lagi, kerajaan juga akan mengumumkan beberapa insentif pada pelancaran rasmi program berkenaan dalam beberapa minggu lagi.

Bercakap kepada media selepas Sesi Pejumpaan Strategik Menteri Ekonomi Bersama Rakan Strategik di sini, hari ini, Rafizi berkata buat permulaan, 10 syarikat rintis akan terlibat dalam inisiatif kerajaan itu yang dilaksanakan melalui Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan rakan strategik AiI.

Syarikat rintis program AiI itu adalah sembilan syarikat tempatan dan satu syarikat multinasional yang terlibat dalam sektor perkilangan automotif, semikonduktor, makanan, aeroangkasa dan minyak sawit, katanya.

Rafizi berkata syarikat yang berminat menyertai AiI perlu mendapat pentauliahan dalam peningkatan kemahiran tenaga kerja (Reskilling and Upskilling) terlebih dahulu.

“Kerajaan kena pastikan latihan itu bertepatan dengan silibus, rancangan kerja bertepatan dengan pensijilan dan mereka ada tenaga kerja untuk melatih pelajar ini,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini