comscore
Tumpuan :
Nasional

210 kematian akibat lemas

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid di Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM dan pelancaran Pasukan Gerak Khas Monsun Timur Laut (MTL RED Team).

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merekodkan 210 kes kematian akibat lemas daripada jumlah keseluruhan 226 kes lemas yang diterima sejak awal tahun ini sehingga kini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, kes tertinggi dilaporkan di sungai atau tali air dengan 136 kes diterima membabitkan 132 kematian.

“Berdasarkan analisis, kes lemas ini kebiasaannya melibatkan golongan muda dan kebanyakan kes berlaku melibatkan orang luar dari kawasan tersebut yang mana mereka tidak mengetahui tentang keadaan sungai, tali air dan badan air dari segi topografi, suasana persekitaran dan kemerbahayaan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM dan pelancaran Pasukan Gerak Khas Monsun Timur Laut (MTL RED Team) di Ibu Pejabat JBPM di sini hari ini.

Beliau berkata, 50 kes lemas dicatatkan berlaku di pantai, 21 kes di tasik atau lombong, air terjun (17 kes) dan pembentung (dua kes).

Datuk Seri Mohammad Hamdan turut menasihati orang awam agar menangguhkan aktiviti rekreasi air, aktiviti di kawasan bukit dan pergunungan ketika musim tengkujuh kerana dibimbangi berlaku runtuhan tebing atau kepala air.

“Kita juga nasihat kalau rakan anda lemas dan bergelut untuk diselamatkan, cari peralatan semula jadi seperti galah, buluh, tali atau benda terapung. Banyak kes mati lemas dengan ramai mangsa di satu lokasi adalah apabila dia (terjun) mahu menyelamatkan (rakan) tetapi dibawa arus sekali.

Pada majlis sama, seramai sembilan pegawai telah ditauliahkan sebagai anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) setelah berjaya menjalani kursus ‘Public Safety Diver’ Siri 1/2022.

“Kita tiada sekatan daripada orang awam untuk berhubung terus kepada kita. Kita tidak akan ada birokrasi rumit menyebabkan bantuan lambat sampai. Dalam keadaan biasa, kalau perlu helikopter untuk digerakkan, ada prosedur operasi standard (SOP).

“Dalam keadaan bencana, kita akan langkah beberapa birokrasi untuk percepat bantuan dan kita saran agensi lain sekiranya diperlukan bantuan mereka untuk beri bantuan segera kerana nyawa manusia terancam,” katanya.

Loading...
Terkini