comscore
Tumpuan :
Nasional

3 hari hilang akhirnya jumpa dalam longkang

Foto ihsan pembaca.

NILAI: Kebimbangan seorang wanita terhadap suami yang dilaporkan hilang selama 3 hari, akhirnya terjawab petang tadi.

Mayat lelaki berkenaan dijumpai dalam longkang bersama motosikalnya dekat bahu Jalan Pajam-Nilai- Salak, berhampiran Taman Semarak, di sini.

Mayat yang ditemui kira-kira jam 2 petang itu dalam keadaan kembung dipercayai sudah meninggal dunia dua hari lalu disyaki terjatuh ke longkang berkenaan ketika menunggang motosikal.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, pihaknya menerima maklumat jam 2.13 petang daripada orang awam berkenaan penemuan satu mayat bersama motosikal didalam longkang di tepi Jalan Pajam-Nilai-Salak.

“Siasatan awal mendapati mayat adalah lelaki India berumur 27 tahun dalam keadaan tertiarap di dalam longkang bersama sebuah motosikal jenis Yamaha SRE-K disahkan sudah meninggal dunia di tempat kejadian.

“Semakan lanjut mendapati terdapat dua laporan polis diterima pada tarikh 13 Ogos lalu membabitkan Orang Hilang (OH) yang dibuat oleh isteri si mati bersangkut repot Mantin/3006/23,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pada hari sama pihaknya turut menerima satu laporan polis yang dibuat pemilik motosikal yang juga majikan kepada lelaki berkenaan bersangkut repot Nilai/8319/23.

“Siasatan Unit Forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan mendapati tiada sebarang penemuan berkaitan unsur jenayah setakat ini.

“Mayat dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban untuk bedah siasat. Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan 1987,” katanya.

Tambah beliau, sebarang maklumat orang awam boleh disalurkan kepada Pusat Kawalan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai di talian 06-7904389.

“Atau boleh menghubungi Pegawai PenyiasatTrafik IPD Nilai, Inspektor Zarina Ariffin di talian 013-8238336,” katanya.

Loading...
Terkini